Selain Paragon Mall, 3 lagi kes tembakan rambang pernah gemparkan pusat beli-belah Thailand


  • Benua
  • Khamis, 05 Okt 2023

Kejadian tembakan rambang pada Selasa menyebabkan ratusan pengunjung panik dan berlari keluar untuk menyelamatkan diri masing-masing.

PADA Selasa, negara dikejutkan dengan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah mewah Paragon, Bangkok, Thailand hingga meragut tiga nyawa manakala empat lagi cedera setakat ini.

Kekecohan tercetus apabila beberapa pengunjung terdengar bunyi tembakan dari arah tandas pusat beli-belah berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan beratus-ratus pengunjung menjadi panik dan segera berlari keluar dari premis tersebut bagi menyelamatkan diri masing-masing.

Lebih mengejutkan, serangan itu dilakukan oleh seorang remaja berusia 14 tahun yang disyaki mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata, siasatan awal mendapati remaja tersebut mengalami tekanan mental yang memungkinkan dia melakukan perbuatan tersebut.

Suspek bagaimanapun telah menyerah diri ke balai polis dan kes masih lagi dalam siasatan.

Dia didapati mempunyai rekod menjalani rawatan masalah kesihatan mental di Hospital Rajvithi, namun berhenti mengambil ubatnya baru-baru ini.

Mungkin ramai ketika ini yang mempersoalkan, bagaimana remaja seusia itu dengan mudah boleh mendapatkan senjata api sehingga berani melepaskan tembakan secara semberono di tempat awam.

Mungkin ada yang tidak tahu, sebenarnya kadar pemilikan senjata api di Thailand adalah lebih tinggi berbanding negara-negara jiran lain.

Malah, kes keganasan membabitkan senjata api di negara Gajah Putih itu semakin meningkat sejak tahun lalu.

Dianggarkan lebih 10.3 juta individu memiliki senjata awam di negara berkenaan, namun hanya 6.2 juta senjata sahaja yang didaftarkan secara sah.

Thailand juga mempunyai bilangan kes pembunuhan senjata api kedua tertinggi di Asia Tenggara.

Malah, negara itu juga mempunyai senjata api sebanyak 1,052,815 untuk tentera dan 230,000 diperuntukkan kepada pihak berkuasa.

Namun sebenarnya kes penembakan rambang besar-besaran jarang berlaku di Thailand, tetapi ada beberapa kejadian yang pernah tercetus dalam tempoh kebelakangan ini :

1) Tembakan besar-besaran di pusat beli belah Terminal 21

Suspek ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas menyebabkan 30 individu maut dan 57 lagi cedera.

Seorang askar Thailand, Jakrapanth Thomma berusia 32 tahun ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas menyebabkan 30 individu maut dan 57 lagi cedera dalam kejadian tembakan rambang di timur laut bandar Korat, Bangkok, Thailand pada 8 Februari 2020.

Jurucakap polis, Leftenan Kolonel Mongkol Kuptasiri memberitahu kejadian yang berlaku di utara timur Nakhon Ratchasima, bermula di sebuah berek tentera sebelum suspek mencuri kenderaan tentera dan menuju ke pusat beli belah, Terminal 21.

Insiden pembunuhan itu bermula kira-kira pukul 3 pagi, ketika tentera itu melepaskan tembakan secara rambang di dalam sebuah rumah, sebelum bergerak ke kem tentera dan pusat beli-belah itu sambil memuat naik hantaran perkembangannya di Facebook.

Suspek berkhidmat di pangkalan tentera berhampiran Nakhon Ratchasima yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Bangkok.

Sebelum serangan itu, Jakrapanth memuat naik hantaran di akaun Facebook milikinya memaklumkan mahu membalas dendam, namun tidak memberitahu mengapa dia mahu berbuat demikian.

Semasa kejadian, tentera dan polis menyerbu pusat beli-belah itu dan membawa keluar ratusan orang awam yang terperangkap di dalamnya.

Beberapa das tembakan kedengaran sebelum subuh, beberapa jam selepas pihak keselamatan Thailand menyerbu masuk ke tingkat bawah Terminal 21, di mana suspek yang memiliki senjata curi daripada bereknya, dikepung.

2) Tembakan rambang selepas merompak

WhatsApp Image 2023-10-04 at 19.59.14

Tiga orang termasuk kanak-kanak lelaki maut dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai barang kemas di tengah wilayah Lopburi, Thailand.

Sekurang-kurangnya tiga orang termasuk kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun maut dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah kedai barang kemas di tengah wilayah Lopburi, Thailand pada 9 Januari 2020.

Menurut polis, lelaki bertopeng melepaskan tembakan rambang hingga mencederakan empat yang lain sebelum melarikan diri dengan barang kemas bernilai AS$16,500 (RM77,937) dengan menaiki motosikal berwarna merah-putih tanpa nombor plat.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penyerang dilihat memecah masuk premis berkenaan dan melepaskan tembakan sebelum melompat ke atas kaunter untuk mengambil barang kemas.

Lelaki berkenaan melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan dan menembak lagi secara rambang ke arah penjual dan pelanggan di dalam kedai.

Seorang kanak-kanak lelaki, yang bersama-sama keluarganya melalui kawasan kedai itu, turut cedera di kepala akibat tembakan itu. Namun dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di hospital berkenaan.

Pegawai keselamatan dan pembantu kedai itu pula meninggal di tempat kejadian.

Ketika itu, polis menawarkan ganjaran sehingga 100,000 baht (RM12,794) kepada mereka yang menyediakan maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

3) Lelaki tembak mati bekas isteri di pusat beli-belah

Seorang lelaki menembak mati bekas isterinya dan mencederakan seorang lagi individu di sebuah pusat beli-belah di sekitar Bangkok.

Seorang lelaki menembak mati bekas isterinya dan mencederakan seorang lagi individu di sebuah pusat beli-belah di sekitar Bangkok, Thailand pada 18 Januari 2020.

Lelaki bersenjata itu menyerbu klinik kecantikan di Century The Movie Plaza berhampiran Victory Monument di Daerah Ratchadewi dan melepaskan sekurang-kurangnya tujuh tembakan ke arah bekas isterinya yang berusia 28 tahun ketika itu.

Dalam kejadian pukul 3.15 petang (waktu tempatan), seorang wanita berusia 31 tahun di klinik itu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital.

Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Pakkapong Pongpetra berkata, suspek dan mangsa berkahwin selama 10 tahun serta mempunyai seorang anak dan mereka baru saja berpisah 13 Februari lalu.

Difahamkan, motif tembakan itu adalah disebabkan isu peribadi dan cemburu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram