[VIDEO] Pasang CCTV tak jalan, penduduk bimbang penyangak selamba buat 'job' waktu siang


  • Tular
  • Ahad, 24 Sep 2023

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki disyaki mencuri barangan di sebuah kawasan perumahan baru-baru ini.

TULAR rakaman video memaparkan seorang lelaki disyaki mencuri barangan di beberapa rumah di sebuah kawasan perumahan.

Lebih membimbangkan, perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh individu yang sama berulang kali dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Meskipun kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan, pelaku sehingga kini masih lagi belum dapat ditangkap.

Berdasarkan rakaman yang dikongsikan di laman X (Twitter) pada Ahad, lelaki itu dengan selamba mencuri barang di hadapan rumah penduduk pada siang hari.

Selepas mengambil barangan tersebut, dia dilihat segera beredar dari tempat kejadian dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, lokasi sebenar kejadian itu masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.

"Haram jadah betul tak tahulah dah berapa job dia buat dekat kawasan rumah aku. Yang dapat kat CCTV saja dah tiga kali. Tapi tetap tak dapat tangkap.

"Buat job siang selamba. Motor yang sama, orang yang sama. Kipas, sport rim, meja, besi semua dia sebat. Aku dengan jiran-jiran mati akal dah ni," ciapnya di Twitter.

Berdasarkan komen yang ditinggalkan netizen, ada juga yang berpendapat, perbuatan itu dilakukan oleh individu yang mungkin penagih dadah.

"Biasa macam ini, mat pet punya kerja. Diorang saja yang berani buat kerja gila siang-siang," kata Mamikinata.

"Mat pet ni confirm. Dah kalau asyik-asyik dia saja yang curi, siang pula tu, tak salah lagi. Cuba try perangkap dengan 'barang' dia," ujar Hakimi.

"Tempat terbuka macam ini CCTV hanya boleh tengok apa dia buat. Lagipun dia pakai helmet dan nombor pendaftaran motor boleh tukar. Cara terbaik hanya pastikan tak ada barang berharga di luar. Boleh cuba perangkap dengan GPS tracker atau apple airtag," ciap Oghe_Alik_Ulu.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram