Rogol pelajar 14 tahun Bagan Datuk: 5 suspek sama sekolah dengan mangsa


  • 112
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Enam remaja lelaki ditahan polis susulan dakwaan merogol seorang pelajar tingkatan dua secara berkumpulan di sebuah rumah dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak. — Gambar hiasan

SEORANG pelajar perempuan tingkatan dua menjadi mangsa rogol secara bergilir oleh sekumpulan remaja lelaki di sebuah rumah dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak pada September lalu.

Susulan kes tersebut, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri mengesahkan keenam-enam suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober.

Katanya, lima daripada remaja tersebut merupakan pelajar dari sekolah sama dengan mangsa, manakala seorang lagi sudah berhenti sekolah.

Polis menerima aduan berhubung kejadian tersebut daripada ibu mangsa pada Selasa lalu, pukul 8.30 malam.

"Kejadian itu telah dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu mangsa sebelum laporan dibuat.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 24 September lalu kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah rumah sekitar Hutan Melintang.

"Mangsa yang berusia 14 tahun telah dijemput oleh seorang rakan sekolah yang dikenali dan dibawa ke rumah tersebut.

"Semasa tiba di tempat kejadian, terdapat beberapa orang lelaki yang dikenali sedang berehat di rumah tersebut.

"Mangsa kemudiannya diajak melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh lima lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 17 tahun, kecuali yang membawa mangsa datang ke rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pada Rabu, 18 Oktober, pihak polis telah menangkap enam suspek.

"Memandangkan mangsa masih di bawah umur, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 375b Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan.

"Siasatan ke atas kes ini dianggap selesai oleh pihak polis dan Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram