SEBUAH lori yang membawa muatan melebihi berat dan secara berbahaya ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin.
Pelaksanaan Ops Patuh Khas (Kenderaan Komersial) yang dijalankan itu, antara lain turut mengesan kesalahan melibatkan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insuran, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan pelbagai kesalahan teknikal kenderaan.
Rakaman tular memaparkan sebuah lori yang membawa kereta di ruang belakang mencetuskan kekecohan di laman media dan pemandunya antara yang ditahan dalam operasi tersebut.
JPJ menerusi kenyataan di laman Facebook berkata, strategi penguatkuasaan secara berfokus dilaksanakan bertujuan untuk memantau kenderaan perdagangan, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Perlaksanaan operasi itu merupakan antara usaha JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam meningkatkan kesedaran kepada semua pengguna betapa pentingnya memastikan keselamatan semasa berada di jalan raya.
Di samping itu, ia juga berperanan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.
Bagaimanapun, JPJ tidak menyatakan tindakan yang dikenakan terhadap pemandu lori terbabit sama ada disaman atau kenderaannya disita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram