[VIDEO] Didakwa curi kabel TM, lelaki terkulai dicekup penduduk pekan Berapit


  • Tular
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tangkap layar seorang lelaki ditahan orang ramai selepas didakwa mencuri kabel TM di Pekan Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

SEORANG lelaki ditahan orang ramai selepas didakwa cuba mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di sebuah kawasan dekat pekan Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu.

Difahamkan, kegiatan itu dijalankan secara berkumpulan dengan dua lagi suspek berjaya meloloskan diri ketika kejadian.

Enggan mengaku salah, si pelaku yang tertangkap kemudiannya dipaksa untuk berbaring di atas tanah dalam keadaan tidak berbaju.

Video berdurasi 20 saat itu dikongsikan di laman media dan hangat diperkatakan warganet.

Dalam pada itu, suspek dikatakan memakai baju uniform TM ketika cuba untuk melarikan kabel tersebut.

Situasi itu nyata mengundang kekeliruan penduduk di kawasan berkenaan yang terlebih dahulu menganggap dia sebagai salah seorang pekerja dari syarikat telekomunikasi terbabit.

Situasi berubah sebaik kegiatan itu mula disedari sebelum si pelaku dikejar dan ditahan oleh orang ramai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San pada Khamis mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa insiden yang berlaku pada 12.30 tengah hari Rabu itu membabitkan empat suspek dengan kesemuanya menyamar sebagai sebagai kontraktor TM.

Ujarnya, kegiatan kumpulan tersebut disedari seorang juruteknik TM selepas ternampak empat lelaki tersebut dalam keadaan mencurigakan.

"Lelaki itu (juruteknik TM) menghampiri empat lelaki yang sedang memotong kabel talian atas tersebut dan bertanyakan mengenai kerja yang dilakukan mereka sebelum tiba-tiba kesemuanya melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan oleh juruteknik terbabit.

"Suspek lelaki berusia 20-an yang berjaya ditahan itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan polis kini giat mengesan tiga rakannya untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut, yang menyebabkan kerugian kabel kira-kira RM5,000," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram