SEORANG lelaki ditahan selepas didakwa mencuri rantai emas milik individu wanita di Kota Tinggi, Johor pada Selasa.
Kegiatan itu disedari orang ramai sebelum si pelaku ditangkap dan dikepung beberapa lelaki di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, seorang wanita dipercayai mangsa kecurian itu gagal mengawal kemarahannya apabila bertindak mengasari pencuri berkenaan.
Dua utas rantai emas yang dicuri disorokkan dalam baju dan berjaya dirampas semula si pemilik ketika kejadian.
Cedera akibat dipukul bertubi-tubi, lelaki berbaju hitam itu masih mencuba untuk mengambil semula rantai emas tersebut sebaik ia dirampas.
Rakaman berdurasi seminit satu saat itu dirakamkan oleh saksi kejadian dan dikongsikan di laman media.
Di ruangan komen, rata-ratanya mengecam perbuatan pencuri tersebut dan menggesa agar hukuman setimpal dijatuhkan kepadanya.
"Kalau ya pun susah bukan macam ini caranya nak kaya cepat, badan sihat muda lagi boleh bekerja sepatutnya," kata Shahmie Shaizan.
"Rantai emas itu siap ada tanda harga lagi, betul rantai baru yang dia curi agaknya, biar masuk penjara terus itu balasannya," ujar Mohd Farid.
"Geram betul akak baju biru itu, siap tendang tengking pencuri lagi, tapi puas hati sebab dia kena pukul secukupnya," jelas Nur Mastura.
"Dah ambil balik rantai dia masih nak rampas semula, apa punya penyangak la, tak sedar ke dia dah ditahan," tambah Syuhada540.
Dalam pada itu, insiden tersebut difahamkan telah dilaporkan kepada pihak polis namun masih belum ada sebarang kenyataan lanjut berkenaan kes itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram