[VIDEO] Janji Israel pulih bekalan air hanya 'wayang', penduduk Gaza terpaksa minum air masin dari perigi kotor


  • Benua
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tangkap layar beberapa penduduk di Gaza terpaksa berebut untuk mengambil air dari saluran paip dan perigi.

PENDUDUK Palestin di Semenanjung Gaza mempertikaikan kenyataan Israel yang mendakwa pihaknya telah menyambung semula bekalan air yang dihentikan sejak beberapa hari lalu.

Konflik peperangan yang berlaku antara pejuang Hamas dan Israel telah menyebabkan tentera Zionis memutuskan sumber air dan elektrik di kawasan terbabit.

Salah seorang penduduk di Palestin, Mohammaed al-Nakhala berkata, akibat daripada serangan itu, dia dan keluarganya tidak lagi dapat menyaksikan sebarang titisan air di dalam rumah mereka.

"Israel bukan sahaja memusnahkan kediaman kami, malah turut merampas nyawa penduduk Palestin.

"Kami terpaksa menggunakan baldi yang diikat untuk mengambil air di dalam perigi yang berbau tetapi ia masih tidak mencukupi untuk golongan berkeluarga.

Pada Ahad lalu, tentera Zionis mendakwa mereka telah menyambung semula bekalan air ke Selatan Semenanjung Gaza selepas menerima tekanan hebat daripada presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Namun, menurut Amna Mohammed yang merupakan seorang wanita menetap di Rafah, Israel dan Amerika Syarikat dianggap pembohong kerana perkara itu tidak berlaku seperti yang dipaparkan di laman media.

"Israel telah meningkatkan penderitaan penduduk di Gaza, bukan sahaja dengan menyerang rumah kami tetapi turut mengenakan sekatan haram tanpa menjaga hak asasi kami.

Untuk mendapatkan air, beribu-ribu penduduk Palestin di kawasan pantai terutamanya di bahagian selatan Gaza, difahamkan terpaksa menunggu berjam-jam dalam barisan panjang untuk membeli air masin yang tidak boleh diminum.

"Sebelum ini, kami biasa mendapatkan air seperti itu secara percuma kerana pihak perbandaran membekalkan rumah kami dengannya, tetapi kini dipaksa untuk membayar kira-kira AS$30 (RM142) untuk mendapatkan 1,000 liter air," kata Salim al-Farra, seorang lelaki yang berpangkalan di Khan Younis.

Jurucakap kementerian dalam negeri Hamas, Eyad Al-Bozom berkata, Israel tidak membenarkan bekalan air dihidupkan semula di Gaza seperti yang telah dilaporkan oleh akhbar antarabangsa.

"Penduduk terpaksa minum air yang kurang bersih dan boleh menimbulkan krisis kesihatan serius serta mengancam nyawa," katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kualiti air di Gaza semakin teruk disebabkan peningkatan tahap kemasinan, pencemaran dan pilihan rawatan yang tidak mencukupi.

Lebih daripada 90 peratus air di satu-satunya empangan air Palestin tidak lagi sesuai untuk diminum.

Beberapa lagi sumber air lain termasuk loji dan rawatan air kumbahan terpaksa dihentikan selepas Israel memutuskan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza dan tindakan itu disifatkan sebagai 'hukuman kolektif' dan 'perang jenayah'. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram