GARA-GARA menunggang motosikal berkuasa elektrik di sebuah lebuh raya, seorang lelaki warga asing menerima padah apabila ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kejadian yang berlaku di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin itu dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian, sebelum ia tular di media sosial.
Berdasarkan video berdurasi 43 saat itu, seorang pengguna jalan raya warganegara Malaysia dipercayai menahan warga Pakistan tersebut selepas mendapati dia menunggang motor elektrik di atas lebuh raya.
"Hari ini (Isnin) punya cerita. Pakistan bawa motor elektrik di atas jalan raya," katanya menerusi kapsyen di video tersebut.
Lelaki tersebut juga bertindak mengambil kunci motosikal penunggang itu dan segera menghubungi pihak berkuasa berdekatan untuk diambil tindakan undang-undang.
Difahamkan, beberapa anggota JPJ kemudian datang ke lokasi berkenaan dan memeriksa maklumat warga asing tersebut, sebelum merampas motor elektrik yang dinaikinya.
Untuk rekod, Kementerian Pengangkutan sebelum ini menetapkan tiga jenis kenderaan dilarang penggunaannya di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta.
Ia termasuk Moped,skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan alat bantuan pergerakan peribadi.
Larangan itu juga dikeluarkan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin dan mengelakkan percampuran dalam aliran trafik bersama kenderaan lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram