SEORANG pemandu lori dipercayai telah menyebabkan tiga batang tiang elektrik tumbang dan kabel wayarnya terputus di sekitar Sungai Buaya, Rawang, Selangor pada Jumaat.
Susulan itu, seorang wanita disyaki mengalami kecederaan setelah motosikal yang ditungganginya dipercayai dihempap salah satu tiang elektrik itu ketika melalui jalan tersebut.
Kejadian itu dirakam orang awam dan dikongsikan menerusi laman Facebook pada hari yang sama.
Berdasarkan sumber orang awam, kabel tiang elektrik berkenaan dipercayai tersangkut pada muatan sebuah lori hingga menyebabkan ketiga-tiga tiang elektrik yang berada berdekatan tumbang.
Difahamkan juga, pemandu lori berkenaan bertindak melarikan diri sejurus kejadian tersebut berlaku.
Video berdurasi seminit enam saat itu turut menunjukkan seorang wanita berada dalam keadaan terbaring di sebelah sebuah tiang elektrik yang terjatuh.
Sementara itu, kelihatan wanita terbabit dibantu oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, status mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram