[VIDEO] Rakaman CCTV papar polis kejar basikal elektrik sebelum kemalangan maut hingga cetus rusuhan


  • Benua
  • Rabu, 24 Mei 2023

Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan salah seorang remaja tersebut yang menaiki basikal eletrik melalui jalan yang terleteak kira-kira 900 meter dari lokasi nahas.

POLIS sedang mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan van polis mengekori dua individu menaiki basikal elektrik beberapa minit sebelum kemalangan maut yang mencetuskan rusuhan di Cardiff, Wales.

Mereka yang maut dikenali sebagai Kyrees Sullivan, 16, dan Harvey Evans, 15.

Rakaman itu menunjukkan van Polis Wales Selatan dan basikal itu yang berada kira-kira 900 meter dari lokasi nahas.

Namun begitu, polis berkata, kenderaan mereka tidak berada di Snowden Road di Ely apabila kemalangan itu berlaku.

Video yang dianalisis oleh BBC Verify melaporkan masa dipaparkan pada video itu adalah pada Isnin pukul 5.59 waktu tempatan di Frank Road.

Penduduk tempatan sebelum ini mendakwa di media sosial bahawa polis mengejar basikal itu.

WhatsApp Image 2023-05-24 at 10.49.51 AM

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan sebuah van polis yang dikatakan mengekori kedua-dua remaja tersebut.

Bagaimanapun, polis berkata, perlanggaran sudah berlaku apabila pegawai tiba, dan anggotanya kekal di tempat kejadian untuk mengawal rusuhan sehingga awal pagi Selasa.

Polis South Wales dan Pesuruhjaya Jenayah, Alun Michael kemudiannya menafikan kedua-dua remaja lelaki itu dikejar oleh anggota pihak berkuasa itu.

Alun enggan mengulas mengenai rakaman van polis itu.

Ketua Superintenden, Martyn Stone pula dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima rakaman menunjukkan kenderaan polis mengekori basikal sebelum pukul 6 petang.

Beliau tidak menjawab soalan tambahan selepas memberikan kenyataan itu tetapi katanya rakaman itu akan membantu polis mengenal pasti keadaan yang dikaitkan dengan kes pelanggaran tersebut.

"Kami boleh mengesahkan bahawa siasatan berikut telah dijalankan setakat ini, dan apabila perlanggaran berlaku tidak ada kenderaan polis di Jalan Snowden," kata Martyn.

"Pada peringkat ini kami tidak percaya ada kenderaan lain yang terlibat," ujar beliau lagi.

Katanya, pasukan itu sudah membuat rujukan mandatori kepada Badan Siasatan Bebas Kelakuan Polis (IOPC).

Pada malam Selasa, 24 jam selepas insiden itu berlaku, puluhan orang muda berkumpul berhampiran ratusan bunga peringatan yang diletakkan di Snowden Road. Suasana di kawasan itu bagaimanapun tenang.

WhatsApp Image 2023-05-24 at 10.56.06 AM

Keadaan sebuah kereta dirosakkan dalam rusuhan di Jalan Snowden, Cardiff, Wales, pada Isnin. — Agensi.

Keadaan itu berbeza pada Isnin, apabila kereta dibakar, bunga api dinyalakan dan batu dilempar ke arah polis ketika lebih 100 orang berkumpul susulan kemalangan itu.

"Seramai 15 pegawai polis cedera, 11 dibawa ke hospital, dan empat dirawat di tempat kejadian," kata Martyn sambil menambah beberapa tangkapan sudah dibuat dan lebih ramai lagi akan ditahan.

"Kami memberi jaminan kepada penduduk bahawa kami akan melakukan yang terbaik untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab," tambah beliau.

Polis dipanggil ke lokasi nahas itu sejurus selepas pukul 6 petang waktu tempatan pada Isnin.

Pada kira-kira pukul 8 malam, polis menghantar ciapan bahawa mereka masih berada di tempat kejadian tetapi juga sedang berusaha untuk meredakan rusuhan.

Polis juga menerma panggilan penduduk yang mengadu bimbang dengan rusuhan tersebut.

Jurucakap IOPC berkata, pihaknya akan menghantar penyiasat untuk mula mengumpul maklumat dan bagi menilai sama ada IOPC perlu menjalankan siasatan bebas.

Dalam pada itu, Bridy Bool, individu yang mengenali keluarga Harvey berkata, remaja tersebut mempunyai ramai kawan dan menyukai motosikal serta bola sepak.

"Dia berkawan baik dengan Kyrees dan (mereka) terlibat dalam perkara yang sama. Ia bukan perkara luar biasa untuk mereka bersama," katanya.

Menurut Bridy, dia percaya kedua-dua remaja itu dikejar oleh anggota polis seperti yang dirakamkan dalam video yang tersebar itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram