[VIDEO] Kerajaan lonjak industri kenderaan elektrik, perkenal Skim Galakan Penggunaan Motosikal EV


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan menjelaskan akan terus menyokong industri kenderaan elektrik negara dalam Belanjawan 2024. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

"Kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM 170 juta oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.

"Bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah. Skim ini akan memberikan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli," katanya.

ANUUU

Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

.Bagi menyokong keperluan projek LRT3 pula, Anwar berkata, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta.

Dalam pada itu, kerajaan juga bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram