Penunggang motosikal 'dimasak hidup-hidup' selepas direnjat pistol elektrik di stesen minyak


  • Benua
  • Khamis, 19 Mei 2022

Barreto akan diletakkan dalam keadaan koma bagi tujuan perubatan dalam beberapa hari. — Agensi

SEORANG penunggang motosikal di Florida, Amerika Syarikat (AS) bertarung nyawa selepas direnjat oleh seorang pegawai polis di sebuah stesen minyak di Wawa, Orlando.

Menurut peguamnya, perbuatan pegawai polis itu mencetuskan 'letupan ngeri' yang 'memasak' lelaki itu hidup-hidup.

"Penunggang tersebut, Jean Barreto mengalami lecur tahap tiga di lebih 75 peratus badannya semasa kejadian pada 27 Februari 2022 ketika mengisi minyak motosikalnya.

"Seorang timbalan sherif Osceola County didakwa menyerang lelaki berusia 26 tahun itu dari belakang, menjatuhkannya dan motosikalnya ke tanah serta menumpahkan petrol," kata firma undang-undang NeJame dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sekurang-kurangnya tiga pegawai lain tiba di tempat kejadian, dan salah seorang daripada mereka menggunakan pistol perenjat pada penunggang motosikal hingga mencetuskan "bola api" dan menyambar hampir seluruh badannya.

Pegawai polis berkenaan turut disambar api menyebabkan hampir separuh badannya melecur.

"Bola api ini marak disebabkan oleh tindakan melulu yang boleh membawa maut serta boleh membawa kepada letupan ngeri.

"Api tersebut telah 'memasak' kedua-dua mereka dan mencederakan dua pegawai polis lain," kata peguam.

Katanya lagi, penunggang motosikal itu masih menjalani rawatan yang berpotensi pulih tetapi amat menyakitkan dan dia tidak mempunyai kulit pada sebahagian besar badannya kerana telah melecur.

Kumpulan peguamnya juga berkata Barreto akan diletakkan dalam keadaan koma bagi tujuan perubatan dalam beberapa hari akan datang, kerana dia menjalani rawatan baharu di Orlando Health.

"Bagi merawat Bareto, doktor tisu dapatkan tompokan empat inci kulit yang tidak terbakar untuk dicantum dan diletakkan di kawasan kulit yang melecur teruk.

"Semasa terbakar hidup-hidup, Barreto mengalami lecur dari depan dan belakang termasuk kaki hingga ke bawah lehernya," ujarnya.

Sementara itu, pejabat sherif pula berkata pada Februari kejadian itu bermula apabila polis menerima panggilan mengenai sekumpulan penunggang motosikal mengacukan pistol ke arah orang ramai.

Barreto didakwa melarikan diri semasa ditahan di lalu lintas, dan pegawai berkata, mereka kemudian menemuinya di stesen minyak Wawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram