[VIDEO] Dua samseng bersenjatakan sabit maut motosikal rempuh tiang elektrik


  • Benua
  • Isnin, 04 Sep 2023

Tangkap layar keadaan dua orang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka merempuh tiang elektrik di sekitar kawasan Kembangan, Jakarta Barat, Indonesia.

TULAR satu video memaparkan dua orang lelaki dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka merempuh tiang elektrik di sekitar kawasan Kembangan, Jakarta Barat, Indonesia.

Difahamkan, kedua-dua penunggang motosikal berkenaan merupakan samseng yang sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa selepas membuat onar di kawasan Meruya.

Menurut Ketua Unit Gakkum Polisi Metro Jakarta Barat, AKP Agus Suwito, kejadian itu berlaku sekitar pukul 7 pagi pada Ahad.

Ujar Suwito, pada mulanya, mereka berdua menunggang motosikal dari arah selatan ke utara di Jalan Raya Kavling, Kembangan, Jakarta Barat.

“Setibanya di kawasan perumahan tersebut, disebabkan kurang fokus dan tidak berhati-hati, mangsa dipercayai membelok ke belah kiri sebelum melanggar tiang elektrik.

"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa yang masih belum diketahui identitinya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kembangan, Pesuruhjaya Billy Gustiano berkata, pihaknya masih menyiasat maklumat yang mengatakan kedua-duanya merupakan samseng yang sedang dalam buruan polis.

Namun begitu, polis juga dipercayai telah menemui dua bilah sabit pada mangsa.

"Berdasarkan sumber rakaman litar tertutup (CCTV), mangsa menunggang motosikal dengan laju sebelum merempuh tiang elektrik.

"Tidak ada sebarang tanda atau maklumat yang mengatakan mereka ini samseng. Tetapi mereka ditemui dalam keadaan masing-masing mempunyai sebilah sabit," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram