TINDAKAN seorang lelaki yang didakwa mencuri ikan mengundang padah apabila dia ditangkap dan dipukul dalam satu insiden yang berlaku di Kampung Tunjung, Kota Bharu, Kelantan.
Difahamkan, kegiatan curi itu disedari orang ramai sebelum salah seorang daripada pengunjung di situ bertindak menahan dan mengasari si pelaku.
Disaksikan beberapa lagi individu lain, adegan kasar itu berterusan apabila lelaki berkenaan ditumbuk bertubi-tubi sehingga menyebabkan bajunya terkoyak.
Dikongsikan di laman media, rakaman berdurasi 42 saat itu meraih lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.
Tidak dihentikan sesiapa, si pelaku kemudiannya melutut sambil meminta maaf atas kelakuannya namun ia tidak diendahkan oleh individu bertopi tersebut apabila terus mengheret dan memukulnya.
Kejadian itu difahamkan sudah dilaporkan kepada pihak polis namun masih belum ada kenyataan polis berhubung insiden tersebut setakat ini.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan isu berkenaan dan sebarang maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram