Dituduh peralat LHDN, Tun Mahathir selar dakwaan Speaker DUN Johor


  • Primer
  • Selasa, 17 Okt 2023

Tun Dr Mahathir Mohamad memperjelaskan dakwaan beliau dituduh memperalat LHDN baru-baru ini. — Awani

TUN Dr Mahathir Mohamad tampil mempertikaikan dakwaan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa beliau memperalatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini.

Ia susulan kes berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin yang perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 oleh LHDN.

Menurut beliau, jika terdapat bukti Najib diperalat oleh pihak tertentu perkara tersebut perlu disertakan supaya dapat dinilai oleh pihak penghakiman.

Ujarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Puad seolah-olah menganggap hakim itu tidak mengetahui cara menilai bukti dan saksi.

"Saya berasa agak hairan bagaimana Puad Zarkashi, seorang Speaker DUN Johor boleh tuduh saya peralat LHDN.

"Jika Puad ada bukti bahawa LHDN telah diperalat oleh saya, kenapa dia tidak beri bukti itu kepada peguam bela Najib dan menawar diri sebagai saksi pembelaan?

"Tetapi perkara ini tidak dilakukan olehnya, sebaliknya dia cuma ‘meroyan’ di luar mahkamah dan membiar Najib menghadapi saman serta kalah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Najib dan anaknya, Mohd Nazifuddin perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada LHDN.

Keputusan itu diperoleh selepas lima panel Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai itu.

Tambah Mahathir, kes yang melibatkan kerajaan perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.

Jelasnya, hakim akan membuat penilaian berdasarkan kepada bukti-bukti yang dipamer dan turut memanggil saksi.

"Kalau Pejabat Peguam Negara merasa bahawa kes ini tidak mempunyai asas kukuh maka ia tidak akan dibawa ke mahkamah.

"Jika tiada saksi dan bukti yang sahih serta kukuh maka hakim akan membuang kes tersebut.

"Jika LHDN telah diperalat oleh saya kenapa peguam bela Najib tidak tunjuk bukti di mahkamah di hadapan hakim-hakim tersebut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram