PEMBENTANGAN Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat telah merungkai segala persoalan masyarakat Malaysia.
Bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat', Belanjawan 2024 dilihat sebagai kesinambungan yang jelas bagi membina semula ekonomi untuk terus mampan, inklusif dan berdaya tahan serta mampu mendepani pelbagai cabaran domestik selain persekitaran global.
Tumpuan utama rakyat dalam belanjawan kali ini pastinya terarah kepada kelebihan dan manfaat diperoleh pekerja di sektor awam dan swasta yang selama ini kerap dibelenggu isu gaji, caruman dan sebagainya.
Berikut merupakan antara kelebihan serta manfaat dimiliki kedua-dua sektor berkenaan.
Penjawat Awam
1. Selenggara kuarters kakitangan awam
Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera serta bomba seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Anwar pada Jumaat.
Pasukan STAR diberikan tanggungjawab untuk mempercepat pelaksanaan projek selenggara lif bernilai RM91 juta dan kuarters kerajaan (RM170 juta).
Menyahut seruan itu, pengerusinya yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, tahun depan pihaknya akan segera melaksanakan arahan tersebut.
"Pembaikan lif di premis-premis kerajaan dan usaha membaik pulih kemudahan hospital akan diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau pada Jumaat.
2. Bayaran insentif awal SSPA RM2,000
Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berjumlah RM2,000 akan diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Anwar Ibrahim berkata, bayaran insentif itu dibuat sementara kerajaan menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012.
Jelasnya, peruntukan itu akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran insentif berjumlah RM1,000 juga diberi kepada jawatan utama sektor awam melibatkan semua pihak termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen turut menerima bayaran insentif RM1,000 yang akan dibuat sekali gus pada akhir Februari depan.
3. Skim Ex-Gratia Bencana Kerja untuk penjawat awam
Liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja untuk penjawat awam turut ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 selaras pindaan Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.
Kenaikan itu membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta.
Perkara itu membolehkan penjawat awam atau waris menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas.
4. Bantuan bayaran pakaian batik Malaysia
Kerajaan juga bersetuju memperluas kemudahan bantuan bayaran pakaian menghadiri upacara rasmi bagi meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak.
Langkah itu bertujuan bagi menggalakkan penghasilan batik Malaysia yang berkualiti tinggi sekali gus menaikkan martabat kebangsaan di mata dunia.
Pekerja Swasta
1. Had caruman KWSP dinaikkan
Kerajaan Madani turut menyaksikan penambahbaikan penyaluran bantuan tunai apabila had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan dan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing ditingkatkan bermula tahun depan.
Bantuan itu difahamkan bertujuan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan berikutan hasil daripada sebahagian pendapatan yang diraih menerusi penjualan nombor plat khas.
Had caruman bagi program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun, terhad kepada RM5,000 seumur hidup manakala had caruman padanan di bawah program i-Suri KWSP ditingkatkan kepada RM300 setahun, terhad kepada RM3,000 seumur hidup.
Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah juga akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta yang memanfaatkan lebih 40,000 suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih.
2. Tanggungan SKSPS meningkat
Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan program perlindungan sosial termasuk kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Skim perlindungan itu dipertingkatkan kepada 90 peratus melibatkan peruntukan RM100 juta manakala syarikat pengendali diseru menanggung baki 10 peratus caruman pekerja gig.
Kerajaan juga akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman Perkeso daripada RM5,000 kepada RM6,000 yang menyaksikan peningkatan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja.
3. Akaun Fleksibel KWSP
Akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasa simpanan persaraan yang lebih efisien dan menjamin masa depan.
Bagi tujuan itu, Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahlinya pada bila-bila masa.
Namun, pengenalan sistem baharu itu belum dikongsikan lagi setakat ini dengan idea tersebut masih di peringkat awal yang dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram