[VIDEO] Bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500, disalurkan sebelum Ramadan


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan bersetuju untuk menaikkan sumbangan STR kepada RM500 bermula tahun depan. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula tahun depan.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Katanya, pemberian STR akan memanfaat sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia dengan peruntukan akan meningkat sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

"Kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 di samping peruntukan minimum untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

"Kebiasaannya bayaran pertama STR untuk isi rumah adalah sebanyak RM300 namun bermula tahun depan, ia dinaikkan kepada RM500 yang insya-ALLAH akan disalurkan sebelum Ramadan.

"Tahun ini, kita telah perkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200 ribu penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan," katanya.

Jelasnya, melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad.

Mengambil kira maklum balas yang amat baik, kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu Kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

"Insya-ALLAH, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada Februari 2024.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram