Pelepasan cukai RM1,000 antara 5 manfaat Bajet 2024 untuk sukan


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Berita gembira buat atlet negara apabila mendapat peruntukan berjumlah RM20 juta sebagai inisiatif Road to Gold di pentas Olimpik Paris 2024. — MSNM

PEMBENTANGAN Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat adalah perkara yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat.

Belanjawan 2024 adalah belanjawan kedua yang dibentangkan oleh beliau sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Belanjawan 2024 bertema 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' adalah dasar penting dan menyeluruh selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Bajet 2024 bagi menambah baik dan memperkukuh ekosistem atlet acara podium.

WhatsApp Image 2023-10-13 at 16.13.26

Anwar ketika sesi membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Berikut Majoriti menyenaraikan lima manfaat bajet 2024 untuk sukan.

1. Bantu realisasi emas Olimpik Paris 2024

Dalam pembentangan tersebut, Anwar juga mengumumkan peruntukan RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Bukan itu sahaja, malah sebanyak RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

Inisiatif itu adalah untuk meraikan kejayaan wira-wira tanah air yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dengan menggenggam 32 pingat selepas melepasi sasaran ditetapkan iaitu 27 pingat.

2. Pelepasan cukai RM1,000

Dalam pembentangan belanjawan tersebut, beliau turut mengumumkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Pelepasan itu juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Sebelum ini, perkara itu difahamkan antara permintaan daripada rakyat terutamanya golongan aktif dalam sukan.

Riadah

Riadah bersama keluarga kekal gaya hidup sihat. Agensi

3. Perbanyak sukan riadah

Bukan sekadar untuk menjadi aktif dan cergas, sukan juga ialah medan penting yang membina keakraban rakyat Malaysia.

Bertepatan sambutan Hari Sukan Negara pada Sabtu, kerajaan akan terus memperbanyak program sukan dan riadah untuk rakyat termasuklah program kemahiran sukan renang untuk kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas daripada keluarga kurang berkemampuan.

Manakala, program perkhemahan keluarga dengan merakyatkan fasiliti KBS untuk tujuan perkhemahan dengan kadar minimum di enam Kem Wawasan Negara seperti di Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan dan Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak.

4. Potongan cukai sehingga 10 peratus kepada syarikat yang buat program sukan

Bagi melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berbakat dalam sukan, kerajaan juga bersetuju untuk memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus.

Berikutan perkara itu, potongan cukai sehingga 10 peratus kepada individu atau syarikat yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan.

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2023, kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

SNBJ

Stadium Nasional Bukit Jalil antara kemudahan yang menjadi gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya.

5. Menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan

Selain itu, sejumlah RM50 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

Dalam pada itu, dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan dan sektor swasta turut disediakan oleh kerajaan.

Untuk rekod, kerajaan menerusi Belanjawan 2023 turut menyediakan dana geran padanan sebanyak RM50 juta bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya yang berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram