PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2024 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM393.8 bilion.
Daripada nilai tersebut, RM303.8 bilion daripadanya melibatkan perbelanjaan mengurus manakala RM 90 bilion perbelanjaan pembangunan, sementara baki RM2 bilion pula adalah simpanan luar jangka.
Belanjawan kali ini memberikan tiga tumpuan utama iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.
Sama seperti tahun sebelum ini, sektor pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi.
Menerusi Belanjawan 2024, Kementerian Pendidikan khususnya diberikan peruntukan sebanyak RM58.7 bilion, iaitu satu peningkatan berbanding RM55.2 bilion pada 2023.
Berikut Majoriti senaraikan merupakan tujuh perbelanjaan yang memberikan manfaat kepada bidang pendidikan negara:
1. Perhatian terhadap aliran pendidikan TVET
Bagi memastikan modal insan negara sentiasa beradaptasi dengan kemajuan pantas teknologi di seluruh dunia, kerajaan sejak beberapa tahun lalu dilihat mula memberikan perhatian terhadap usaha untuk memperkasakan aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Dalam Belanjawan 2024, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion untuk bidang pendidikan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, RM100 juta digunakan bagi penyediaan pensijilan profesional diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat. — Bernama
Dalam Belanjawan 2024, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion untuk sektor pendidikan tersebut.
Sementara itu, Anwar mengumumkan bahawa Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan menerima Dana Latihan TVET berjumlah RM180 juta bagi menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.
RM20 juta pula akan dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di ASWARA dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.
Pada masa sama, sebanyak RM17 juta turut disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.
2. Tumpuan perkembangan teknologi dan inovasi dalam sektor pendidikan
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan RM510 juta sebagai dana bagi aktivit penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi serta inovasi.
Penyaluran dana tersebut akan disalurkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian dan Pendidikan Tinggi.
Daripada jumlah tersebut, RM50 juta dikhususkan sebagai geran padanan untuk universiti awam bekerjasama dengan sektor swasta bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi boleh dikomersialkan.
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion untuk sektor pendidikan tersebut. — Gambar hiasan
Bagi pemerkasaan sistem R&D dan pengkomrersialan serta inovasi (C&I), sebanyak RM76 juta bagi memperkasa ekosistem bidang tersebut melalui penyediaan dana sokongan pengkomersialan produk hasil ciptaan perusahaan perniagaan, NGO serta jabatan dan agensi kerajaan.
Sementara itu, kerajaan menyediakan RM10 juta dana melibatkan usaha daya cipta dalam bidang seperti teknologi eletrik dan eletronik (E&E) di bawah MIMOS, sektor angkasa (MYSA) dan teknologi dron serta robotik (MRANTI).
3. Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak
Kerajaan menerusi belanjawan tahunannya pada 2024 dilihat terus memberikan perhatian terhadap pendidikan awal kanak-kanak apabila memperuntukkan sebanyak RM586 juta kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Daripada peruntukan tersebut, sebanyak 10 buah TABIKA dan TASKA baharu akan dibina dengan kos RM31 juta antaranya di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu; Felda Jelai 1, Tampin, Negeri Sembilan dan Taman Kota Masai, Johor Bahru, Johor.
Selain itu, sejumlah RM20 juta turut disediakan bagi menaik taraf premis Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas.
Pada masa sama, sebanyak 26 buah prasekolah baharu juga bakal dibina di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta.
Kerajaan akan turut melaksanakan Program PraTahfiz KEMAS dengan peruntukan RM20 juta dengan sasaran melahirkan 100,000 hufaz cilik menjelang 2026.
4. Penyelenggaraan dan naik taraf sekolah serta universiti di seluruh negara
Pada tahun depan, kerajaan menyediakan sejumlah RM1.9 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.
Ia merangkumi RM930 juta bagi kerja naik taraf bangunan dan prasaran daif di 450 buah sekolah meliputi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.
Dalam pada itu, sebanyak RM1 bilion disediakan untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah membabitkan sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah tamil dan cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.
Sebanyak 26 buah sekolah baharu akan turut mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion.
Bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di institusi pendidikan tinggi (IPT), RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang.
Penyediaan peruntukan itu termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.
Sementara itu, untuk terus memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas, sebanyak 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta.
Pada masa sama, RM30 juta juga disediakan untuk membekalkan peralatan
sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.
5. Bantuan murid miskin, keperluan khas dan komuniti rentan
Bagi bantuan terhadap murid miskin, kerajaan melalui Belanjawan 2023 bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).
Pemberian tersebut akan diberikan mengikut kadar mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.
Langkah itu menyaksikan pertambahan seramai 35,000 murid daripada keluarga kurang mampu untuk mendapatkan BKP.
Selain itu, bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan 3 berbanding sehingga tingkatan 1 sebelum ini.
Sejumlah RM20 juta turut disediakan bagi menaik taraf premis Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas. — Gambar hiasan
Dengan perluasan berkenaan, bantuan itu akan memberikan manfaat keseluruhan kepada sejuta murid dengan membabitkan peruntukan RM150 juta.
Dalam pada itu, di peringkat pengajian tinggi, kerajaan mengambil langkah menghadkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dengan tidak melebihi RM1,500.
Ia selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah 1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
Anwar berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan berlakunya insiden pelajar dinafikan hak daripada mendaftar keana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.
Pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Usaha pemerkasaan aliran STEM akan turut melibatkan wakil industri sebagai tenaga pengajar dan membekalkan peralatan dalam meningkatkan minat murid mempelajari aliran tersebut. — Gambar hiasan
Selain itu, Kerajaan melahirkan hasrat merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti.
Untuk tujuan tersebut, sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara.
6. Pemerkasaan aliran STEM dan industri AI negara
Bagi memperpakasa aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah.
Dana berkenaan turut disediakan bagi membantu sekolah memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.
Dalam pada itu, usaha pemerkasaan itu akan turut melibatkan wakil industri sebagai tenaga pengajar dan membekalkan peralatan dalam meningkatkan minat murid mempelajari aliran tersebut.
Pada masa sama, Anwar turut mengumumkan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta.
7. Usah perkembangan pendidikan dan penghayatan ilmu Islam
Kerajaan menerusi Belanjawan 2024 ketika ini dilihat terus memberikan tumpuan terhadap usaha memperkembangkan dan penghayatan pendidikan ilmu Islam di dalam negara.
Untuk tujuan itu, dua buah institusi pendidikan islam akan dibina iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan yang membabitkan kos RM220 juta.
Sementara itu, sejumlah RM150 juta juga disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.
Sebagai mengharga jasa dan peranan besar lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, Kerajaan bersetuju memberikan sumbangan khas sebanyak RM700.
Pemberian insentif itu akan disalurkan terus kepada mereka dengan peruntukan keseluruhan lebih RM50 juta.
Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram