Rakyat dapat pelepasan cukai RM1,000 bagi pembelian peralatan, aktiviti sukan


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Berita gembira buat rakyat apabila mendapat pelepasan cukai RM1,000 bagi pembelian peralatan dan aktiviti sukan. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelepasan itu juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Tambahnya lagi, kerajaan akan terus memperbanyak program sukan dan riadah untuk rakyat.

"Esok (Sabtu) ialah Hari Sukan Negara, kerajaan akan terus memperbanyak program sukan dan riadah untuk rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Menurut beliau, antaranya termasuklah program kemahiran sukan renang untuk kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas daripada keluarga kurang berkemampuan.

Seterusnya, kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada penganjuran aktiviti sukan dan riadah untuk membentuk warga emas yang aktif dan cergas.

"Di samping itu, program perkhemahan keluarga dengan merakyatkan fasiliti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tujuan perkhemahan dengan kadar minimum di enam Kem Wawasan Negara seperti di Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan dan Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram