[VIDEO] Malaysia sokong keadilan Palestin, terus salur bantuan tanpa henti — Zahid Hamidi


  • Primer
  • Isnin, 09 Okt 2023

Ahmad Zahid kekal dengan pendirian bahawa Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kepada Palestin susulan konflik peperangan yang berlaku baru-baru ini.

MALAYSIA kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.

Ia susulan konflik peperangan yang berlaku antara kedua-dua buah negara itu baru-baru ini yang nyata memberikan kesan cukup mendalam bagi negara-negara Islam sedunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataannya pada Isnin berkata, ketegasan Malaysia jelas dapat dilihat berdasarkan kenyataan keras yang sering kali dikeluarkan dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.

"Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai 2023 mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas Wilayah Palestin sejak 1967.

"Sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia amat jelas dan merentasi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi dan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan kapasiti, termasuk pembangunan semula infrastruktur.

"Sumbangan dan bantuan ini disalur dengan pelbagai cara samada secara dua hala, serantau atau pelbagai hala dan Al-hamdulillah, setakat ini bantuan kita ini membantu rakyat Palestin tidak pernah terhenti," katanya.

Selain itu, kerajaan juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul daripada sumbangan awam.

Ia dilaksanakan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Negeri.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat pada 22 September lalu turut menekankan pendirian tegas Malaysia mengenai isu Palestin.

Anwar Ibrahim menyelar sikap talam dua muka sebahagian besar masyarakat antarabangsa yang lantang bersuara tentang pencabulan hak asasi manusia, ketidakadilan dan kezaliman rejim tertentu tetapi membisu dalam isu kezaliman di Palestin.

Beliau menggesa supaya kelantangan yang sama disuarakan untuk membela rakyat Palestin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram