[VIDEO] Cubaan menyelit gagal, mat rempit tiba-tiba terpacul lepas 'cium jalan' di Bukit Jelapang


  • Tular
  • Isnin, 09 Okt 2023

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal lelaki di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke Bukit Jelapang, Kedah pada Ahad.

TINDAKAN seorang penunggang lelaki yang cuba menyelit dan berlumba motosikal dengan rakannya mengundang padah apabila dia tercampak selepas merempuh sebuah kereta di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke Bukit Jelapang, Kedah pada Ahad.

Ketika kejadian, individu berkenaan terlebih dahulu dilihat bergerak secara berkumpulan dengan beberapa lagi rakannya sedang mendahului di depan.

Cuba untuk mengejar, lelaki berkenaan kemudiannya merempuh bahagian belakang sebuah kereta jenama Perodua Alza sekali gus menyebabkan dia tercampak ke lorong kiri laluan terbabit.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera dashcam salah seorang pemandu di situ dan hangat diperkatakan di laman media.

Dalam pada itu, pemilik Perodua Alza tersebut menjelaskan bahawa kemalangan itu berlaku ketika laluan lebuh raya sedang sesak.

"Hari Ahad kereta banyak atas jalan, kita perlahankan kenderaan sebab depan dah sesak, datang motosikal dari belakang terus tibai.

"Dari Bukit Merah, Perak dah meriah dah geng motosikal ini semua, buat Superman dari belakang," katanya.

Walau bagaimanapun, penunggang terbabit difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan parah dan berada dalam keadaan stabil akibat pelanggaran itu.

Namun, belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan kejadian itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika memandu di jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram