BANK-BANK utama telah mengambil langkah sewajarnya dengan memberikan pengecualian fi urus niaga ke atas perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR, kata kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Penolong Gabenor BNM Suhaimi Ali dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Sabtu berkata, bank-bank berkenaan juga menguruskan lebih 80 peratus daripada perniagaan yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR.
"Bagi individu pula, pelanggan kekal tidak dikenakan sebarang caj bagi pembayaran yang tidak melebihi RM5,000 melalui DuitNow QR. Ia adalah satu jumlah yang agak besar untuk urus niaga individu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pasar Kitar Cashless Langkawi di Kedah.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kegusaran yang timbul susulan pengenaan fi urus niaga untuk perkhidmatan DuitNow QR.
Suhaimi turut menasihatkan orang ramai untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.
BNM telah meminta institusi perbankan untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menyekat penipuan kewangan seperti peralihan daripada menggunakan kata laluan sekali sahaja atau lebih dikenali sebagai OTP yang berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah yang lebih selamat apabila membuat pindahan wang secara dalam talian.
Menurutnya, Pusat Respons Scam Kebangsaan juga telah ditubuhkan dengan talian hotline 997 berfungsi untuk menyelaras tindak balas pantas bagi membanteras penipuan kewangan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram