MISTERI kehilangan Muhammad Daniel Haikal, 27, yang didakwa hilang selepas menghantar telefon pintar kepada pelanggannya sebelum ini akhirnya terjawab apabila dia dikatakan sudah selamat kembali ke rumahnya pada Sabtu.
Perkara itu dikongsikan di laman Instagram ibu saudaranya, @lameraheyra, yang mengesahkan individu berkenaan telah dihantar pulang oleh seorang pemandu lori.
Tambahnya, anak saudaranya itu juga mengalami kecederaan pada kawasan muka serta badan.
"Semoga ALLAH membalas jasa semua yang membantu saya untuk menularkan kes kehilangan anak saudara saya, Muhammad Daniel. Terima kasih juga kepada pemandu lori yang menyelamatkannya.
"Buat masa sekarang, anak saudara saya masih dalam keadaan trauma, penat dan tidak mampu untuk bercerita apa-apa," katanya.
Terdahulu, Muhammad Daniel dilaporkan hilang selepas menjalankan urusan penjualan telefon pintar jenis iPhone dengan individu tidak dikenali di Pulau Pinang.
Ketika kejadian, dia dikatakan sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta pertolongan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada walau di mana juga anda berada dan segala spekulasi berkaitan kehilangan Muhammad Daniel diminta untuk dihentikan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram