[VIDEO] Tak serik tragedi lampau, 10 budak lemas ketika mandi sungai dekat Tawau


  • Tular
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Tangkap layar video tulat memaparkan orang ramai membawa keluar mangsa daripada sungai terbabit di Kampung Balingan, Batu 5, Tawau, Sabah.

SEPULUH kanak-kanak dilaporkan lemas ketika sedang mandi di sebuah sungai dekat Kampung Balingan, Batu 5, Tawau, Sabah pada pagi Khamis.

Insiden kejadian tersebut tular di sosial media pada Jumaat dengan orang ramai dilihat sedang cuba memberikan bantuan kepada semua mangsa terlibat.

Menurut sumber daripada orang awam, lima daripada mangsa difahamkan meninggal dunia, seorang sedang dirawat di Hospital Tawau manakala empat lagi terselamat dalam insiden berkenaan.

WhatsApp Image 2023-10-07 at 6.01.53 PM

Tangkap layar video tular memaparkan orang ramai cuba untuk membantu menyelamatkan mangsa yang sudah dibawa ke darat.

Berdasarkan klip tular itu, orang ramai dilihat sedang melakukan usaha menyelamatkan mangsa yang sudah dibawa ke darat.

Punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Namun, di ruangan komen, seorang pengguna Facebook, Iyka Dh mengaitkannya dengan perkara mistik.

Ujarnya, kejadian tersebut juga bukan kali pertama berlaku di lokasi terbabit.

"Dulu pun ada kejadian lemas juga situ. Memang dilarang mandi situ. Tapi biasalah budak-budak. Sebenarnya, budak-budak itu semua pandai berenang, tapi disebabkan ada penunggunya, susah dilawan," dakwa Iyka Dh.

Dalam pada itu, setakat laporan ini ditulis, masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berkenaan insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram