[VIDEO] Nahas 5 kenderaan, penunggang warga emas maut dirempuh di lampu isyarat Seremban


  • 112
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Tangkap layar seorang kejadiam kemalangan mengorbankan seorang lelaki warga emas di Seremban, Negeri Sembilan.

SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku melibatkan seorang penunggang lelaki warga emas yang dirempuh beberapa buah kenderaan ketika sedang berhenti di lampu isyarat Jalan Haji Abdul Hamid berhadapan sebuah medan selera dekat Seremban, negeri Sembilan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian kira-kira pukul 1 petang itu membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah van, lori, dua kereta dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa lelaki berusia 62 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota dipandu lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah Bandar Seremban ke Temiang, Negeri Sembilan.

"Sebaik tiba di lokasi, van berkenaan disyaki hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu lelaki berusia 64 tahun dan motosikal jenis Honda RS ditunggang mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu van terbabit telah terbabas menaiki tembok kiri jalan raya dan melanggar sisi kiri sebuah lori jenis Mitsubishi FE yang dipandu lelaki berumur 49 tahun.

"Susulan itu, kereta Toyota Vios terbabit turut menggelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori sama sebelum lori terbabit terlanggar pula sebuah lagi kereta dipandu lelaki berusia 42 tahun.

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), namun disahkan meninggal dunia di zon merah ketika menerima rawatan manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan," katanya.

Ujarnya, pemandu van telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

"Ujian saringan air kencing dan kandungan alkohol dalam badan telah dibuat terhadap pemandu tersebut dan keputusan kedua-dua ujian adalah negatif.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479 atau IPD Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram