PADA 29 September 2004, negara digemparkan dengan penahanan seorang individu bergelar Datuk Seri yang dipercayai menjadi suspek utama dalam misteri kes kematian anak saudaranya.
Dalam insiden berlaku dua hari sebelumnya, mangsa yang merupakan budak lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas dalam kolam renang di kediaman banglo milik individu terbabit di Jalan Mengkuang, Kuala Lumpur.
Kematian tersebut menimbulkan kecurigaan kerana mayat mangsa yang juga merupakan pelajar sekolah swasta itu didapati berada dalam keadaan kaki terikat dan kesan lebam pada beberapa bahagian badan.
Sementara itu, The Star melaporkan selain Datuk Seri berkenaan, turut ditahan adalah tiga lagi individu lain iaitu teman wanitanya yang berasal dari China, pembantu peribadi dan pengawal peribadinya bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya ketika itu, Senior Asisten Komisioner II Abdul Aziz Bulat dilaporkan berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan keempat-empat suspek direman mengikut Seksyen 117 untuk siasatan lanjut.
Bagaiamanapun, dia enggan menyatakan sama ada kemungkinan penemuan senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang remaja malang itu.
"Dengan penahanan mereka, kami percaya kes itu telah selesai," ujarnya ketika itu.
Kejadian pembunuhan dan penahanan Datuk Seri itu menjadi kes yang menggemparkan seluruh negara.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari China itu dihantar oleh ibu bapanya ke Malaysia untuk tinggal bersama pak ciknya yang juga bekerja sebagai pengurus stok.
Dua minggu selepas penahanan kesemua suspek, ketiga-tiga lelaki yang sebelum itu ditahan didakwa atas tuduhan membunuh.
Pendakwaan berkenaan turut menyebabkan gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada individu itu ditarik balik.
Sepanjang 36 hari perbicaraan, antara testimoni yang diberikan daripada 39 saksi dipanggil antara lain memaklumkan mengenai penderaan fizikal yang dikenakan ke atas mangsa selepas dituduh mencuri wang tunai bernilai RM30,000 milik suspek.
Bagaimanapun, di akhir perbicaraan, ketiga-tiga tertuduh dilepaskan daripada jenayah berkenaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk menjawab pelbagai keraguan ditimbulkan dalam kes tersebut.
Pihak pendakwaan turut membuat rayuan terhadap keputusan itu, namun Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan yang dibuat.
Keluarga mangsa juga sebelum itu berjanji untuk memperjuangkan keadilan bagi kes tersebut dengan memastikan suspek mendapat hukuman yang sepatutnya.
Sehingga kini, misteri pembunuhan tersebut masih tidak dapat diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram