TULAR satu video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai mati lemas di kolam dekat sebuah kondominium di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Kejadian tersebut dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berkenaan.
Video tersebut pada mulanya dimuat naik di akaun TikTok dan ditularkan semula di laman X (Twitter) pada Ahad.
Rakaman yang dikongsikan itu pada awalnya menunjukkan budak berkenaan mandi bersendirian di kolam renang menggunakan pelampung.
Namun malang buatnya, semasa ingin turun ke kolam menggunakan tangga, pelampungnya tiba-tiba terbalik hingga menyebabkan dia terkapai-kapai bersendirian, sebelum badannya menjadi kaku.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki dipercayai abang tiri mangsa dilihat menghampiri kolam berkenaan dalam keadaan santai dan tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut.
Lebih menghairankan, dia hanya berdiri di situ sambil menikmati air minumannya, malah dia juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ingin menyelamatkan kanak-kanak itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis tahan abang tiri kes biar adik lemas di Bangi
Tindakan lelaki tersebut yang hanya membiarkan kanak-kanak terbabit lemas menimbulkan persoalan dalam kalangan warga maya.
Namun, tidak dapat dipastikan punca lelaki itu bertindak sedemikian kerana tiada sebarang maklumat yang dikongsikan pemilik akaun TikTok berkenaan.
Sementara itu, berdasarkan maklumat awal orang awam, kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut, sebelum memaklumkan kepada penjaganya.
Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke hospital, namun dia difahamkan koma selama seminggu.
"Ada penjaga waktu itu, tapi penjaga ralit. Guard nampak (budak itu) terapung, beritahu penjaga, (katanya) budak itu pandai berenang.
"Alih-alih technician terjun bawa naik bagi bantuan CPR (bantuan pernafasan). Telefon ambulans bawa pergi hospital. Hospital kata (peluang) 50-50 masa itu.
"Doktor update cakap (budak itu) dah tak dapat diselamatkan, kira brain dead," ujarnya.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kes itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram