[VIDEO] Polis tahan abang tiri biar adik lemas di Bangi


  • 112
  • Isnin, 25 Sep 2023

Tangkap layar video menunjukkan lelaki tersebut hanya melihat kanak-kanak itu yang sedang bergelut lemas di dalam kolam terbabit.

SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang lemas di kolam renang kompleks pangsapuri Bangi, Selangor pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang merupakan abang tiri mangsa ditahan pada Ahad selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Berdasarkan semakan kami, kami mendapati lelaki itu berada berhampiran kolam ketika kejadian berlaku.

“Dia (kelihatan hanya melihat) mangsa lemas tanpa melakukan apa-apa untuk menyelamatkannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Laporan mengenai kejadian itu dibuat pegawai perubatan dari Hospital Serdang, Selangor yang merawat mangsa pada 13 September.

“Siasatan mendapati mangsa lemas dalam kolam renang kira-kira pukul 3 petang. Dia pada mulanya dibawa ke klinik sebelum dihantar ke Hospital Serdang.

“Bagaimanapun, dia meninggal dunia pada keesokan harinya (14 September) selepas menerima rawatan dengan kes pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambah Mohd Zaid.

Tambahnya, penahanan suspek itu dibuat untuk membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut.

“Kes (sedang disiasat) di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau balai polis berhampiran,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram