NIAT murni seorang lelaki cuba menyelamatkan rakannya yang dibawa arus bertukar tragedi apabila dia lemas di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor, Perak pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang di Lumut itu, mangsa berusia 20 tahun berkunjung ke pantai bersama rakan untuk aktiviti riadah sebelum menyedari seorang rakannya lemas ketika mandi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, rakannya berjaya menyelamatkan diri, manakala lelaki itu hilang di pantai akibat lemas.
"Operasi mencari telah digerakkan dan menjumpai mangsa.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulau Pangkor pada pukul 3.45 petang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dijumpai orang awam dalam jarak tujuh meter dari pantai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram