[VIDEO] Selamba main judi tempat awam, warga asing terkedu kena 'sound' dengan 'abang kawasan'


  • Tular
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing sedang asyik bermain judi di laluan pejalan kaki dekat Jalan Jelatik Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KEASYIKAN sekumpulan lelaki dipercayai warga asing bermain judi dikejutkan dengan kehadiran seorang individu yang merakam suasana sekitar kejadian.

Kejadian itu kemudian dimuat naik di laman X (Twitter) pada Sabtu, sebelum ia menjadi tular.

Insiden tersebut difahamkan berlaku di laluan pejalan kaki dekat Jalan Jelatik Keramat, Kuala Lumpur, namun belum dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian itu.

Menerusi video berdurasi 41 saat itu, kelihatan sekawan warga asing leka berjudi di kaki lima sebelum disergah seorang lelaki.

Lelaki berkenaan bertindak menengking dan menolak papan seterika yang dijadikan sebagai meja untuk kegunaan bermain judi.

Dia turut memohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap golongan tersebut.

"Dia bantai berjudi pula di sini. Mohon pihak berkuasa ambil tindakan," katanya menerusi kapsyen video tersebut.

Melihat situasi yang agak tegang itu, warga asing yang terkejut dengan kehadiran lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk bubar dan segera beredar dari situ.

Namun setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram