GARA-GARA memfitnah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkenaan isu pemindahan premis judi di Kedah melalui hantaran di Facebook empat tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil membuat permohonan maaf terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu pada Jumaat.
Muhammad Sanusi menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat merujuk kepada kenyataan yang dibuat dalam platform tersebut pada 30 Julai 2019 terhadap pemimpin Amanah dan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Kedah ketika itu.
Menurutnya, kerajaan ketika itu didakwa kurang sensitif dengan perpindahan premis judi ke kawasan yang majoritinya orang Islam tanpa sebarang halangan, dan isu tersebut dibangkitkan olehnya serta masyarakat selepas empat bulan kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan.
"Atas saman fitnah yang difailkan oleh Mahfuz terhadap saya berkaitan hantaran Facebook tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8 November 2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3 April 2023 telah memutuskan bahawa hantaran berkenaan adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz, dan saya diperintahkan untuk memohon maaf.
"Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam hantaran Facebook tersebut," katanya pada Jumaat.
Media pada 8 November lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz berhubung kenyataan fitnah melalui hantaran Facebook dua tahun sebelumnya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin, membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Mahfuz, selaku plaintif terhadap Muhammad Sanusi sebagai defendan.
Peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili Mahfuz berkata, mahkamah memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 14 hari daripada tarikh tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram