GARA-GARA ditangkap bermain permainan dalam talian semasa persidangan, Cinta Mega yang juga ahli wakil rakyat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) DKI (Daerah Khusus Ibukota) Jakarta, diberi amaran untuk digugurkan daripada jawatan tersebut.
Memetik laporan portal Indonesia, ahli politik tersebut boleh dipecat daripada anggota DPRD DKI Jakarta jika benar dia didapati bermain judi dalam talian dan bukan permainan Candy Crush seperti yang didakwa.
Tribun Jakarta melaporkan, sebelum terbabit kes itu, rupanya Cinta Mega sudah memutuskan tidak mahu lagi meneruskan hasrat untuk menjadi anggota DPRD DKI Jakarta.
Hal itu kerana Cinta Mega merupakan satu dari beberapa nama ahli Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang memutuskan untuk tidak mendaftar sebagai bakal calon DPRD DKI Jakarta untuk Pemilihan Umum Presiden Indonesia (Pemilu) 2024.
Setiausaha Dewan Pimpinan Daerah PDIP DKI Jakarta yang juga Ketua PDIP di DPRD DKI, Gembong Warsono ketika itu berkata, Cinta Mega bersama Setia Budi Musa dan Indrawati Dewi memutuskan untuk tidak mendaftar sebagai calon pilihan raya atas alasan kesihatan.
Namun selepas ditangkap bermain game dalam mesyuarat, Cinta Mega, diberi amaran keras akan digugurkan daripada jawatan sebagai anggota DPRD DKI Jakarta.
Sementara itu, Anggota Badan Kehormatan DPRD DKI Jakarta, Rasyidi menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tersebut walaupun teguran boleh diberikan terhadap perbuatan berkenaan.
"Saya antara orang yang tidak bertolak ansur dengan perkara sebegitu. Amaran boleh diberikan, boleh juga dengan penggantian antara waktu (PAW), tapi itu (jalan) yang terakhir,” katanya pada Jumaat.
Dalam pada itu, jika Cinta Mega diberikan PAW, beliau perlu menamatkan tugasnya sebagai anggota DPRD DKI untuk penggal 2019-2024 lebih awal daripada yang sepatutnya.
Media sebelum ini melaporkan beliau 'kantoi' dirakam kamera secara langsung didakwa sedang bermain judi secara dalam talian pada Khamis.
Aksinya itu dirakam ketika pihak media sedang membuat liputan sidang berkenaan.
Bagaimanapun, beliau ketika ditemu bual wartawan menafikan bermain judi dalam talian, sebaliknya permainan dalam talian pada waktu itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram