PN didakwa dapat dana kempen hasil judi, ahli perniagaan serah dokumen kepada SPRM


  • 112
  • Selasa, 30 Mei 2023

Terdapat dakwaan bahawa ada parti-parti dalam PN memperoleh dana untuk kempen PRU15 hasil wang judi.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima dokumen daripada seorang ahli perniagaan yang mengandungi bukti perkaitan antara Perikatan Nasional (PN) dengan syarikat perjudian pada Selasa.

Menurut laporan sebuah portal berita, individu bernama Rashdan Yusof itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk menyerahkan dokumen tersebut dan disoal siasat kira-kira tiga jam.

"Maklumat yang saya ada disokong oleh dokumen tertentu. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, ahli perniagaan tersebut turut menafikan dirinya mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan siasatan terhadap dakwaan bahawa terdapat parti-parti dalam PN yang mendapat sumbangan daripada dana judi semasa kempen Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu masih belum dihentikan.

Beliau berkata, dalam jawapan bertulis SPRM yang dikemukakan telah menyatakan agensi tersebut telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram