Penelope Cruz tampil sebagai duta sulung GEOX


  • Bizz
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Penelope Cruz dilantik sebagai duta jenama global terkemuka, GEOX.

SELEBRITI terkenal yang juga pemenang Oscar, Penelope Cruz diberi penghormatan untuk dilantik sebagai duta sulung jenama global terkemuka, GEOX.

Dikenali sebagai pelakon serba boleh, bakat luar biasa yang dimilikinya amat dihargai dan dikagumi oleh kebanyakan pembikin dan pencinta filem di seluruh dunia.

Keanggunan dan karisma Penelope sebagai duta jenama itu pasti akan membantu meningkatkan keberkesanan kempen GEOX yang bakal dibahagikan kepada dua fasa.

Fasa pertama adalah selari dengan pelancaran koleksi women's Autumn-Winter 2023/2024, manakala fasa kedua lebih tertumpu pada koleksi Spring-Summer 2024.

Pengasas dan pengerusi GEOX, Mario Moretti Polegato yang mengakui teruja dengan perkembangan menarik itu berkata, Penelope merupakan duta ideal untuk mewakili jenama tersebut yang kini semakin mendapat tempat di hati pembeli.

“Syarikat ini telah berkembang dengan maju sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kami sangat teruja dengan kehadiran Penelope sebagai duta GEOX yang pertama.

"Dia pasti akan dapat membawa jenama ini di mata dunia, apatah lagi dia digambarkan sebagai seorang wanita yang bukan sahaja memiliki kecantikan, malah kesejahteraan hidup yang merentasi evolusi, sejajar dengan reka bentuk produk kami," katanya.

Penelope Cruz (kanan) bergambar bersama Mario Moretti ketika menghadiri previu GEOX Spring 2024 yang diadakan semasa Minggu Fesyen Milan baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GEOX, Livio Libralesso berkata, kerjasama strategik bersama Penelope, ditambah dengan imej profesionalisme yang ditampilkannya penting sebagai salah satu bentuk strategi pemasaran berterusan jenama itu.

Aktres itu merangkumi kualiti seperti profesionalisme, kesederhanaan, kekuatan, keanggunan dan perwatakan nilai yang selari dengan aspirasi GEOX.

“Duta seperti Penelope dengan imej yang boleh dipercayai akan membawa impak dan nilai yang besar kepada kami," ujarnya.

Penelope dan kakaknya, Monica Cruz, seorang penari balet yang juga pelakon berbakat besar, bersama-sama mencipta koleksi kapsul menawan yang bakal dikeluarkan pada musim Spring-Summer 2024.

Koleksi itu direka bagi memenuhi keperluan wanita moden yang menginginkan gabungan praktikal yang lancar dan penuh imaginasi, dengan menggabungkan elemen keanggunan dengan keselesaan.

Bakat dimiliki Penelope amat dihargai dan dikagumi oleh kebanyakan pembikin dan pencinta filem di seluruh dunia.

Penelope turut berkongsi, dia dan Monica sebenarnya beberapa kali bekerjasama bagi menjayakan pelbagai acara terutamanya dalam industri fesyen.

"Minat kami dalam fesyen dan kegembiraan untuk bekerja bersama telah mendorong kami untuk memulakan usaha ini sekali lagi," katanya.

Pada masa sama, adik-beradik Cruz itu turut mempunyai pelbagai cadangan yang menarik bagi menghiasi almari pakaian individu yang menggunakan jenama tersebut.

Kolaborasi antara GEOX dengan kedua-dua beradik itu diyakini akan menjadi daya penarik kepada wanita di seluruh dunia untuk menggayakan produk daripada GEOX.

GEOX oleh Penelope dan Monica Cruz yang dinanti-nantikan semua bakal tersedia di kedai utama GEOX seluruh dunia serta dalam talian melalui GEOX.COM mulai Februari 2024, atau untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 03–8942 8333. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram