STRATEGI penjenamaan membolehkan Kumpulan TSLAW yang diasaskan oleh Pengerusi Eksekutif, Tan Sri David Law Tien Seng, berjaya meletakkan syarikat ke tahap lebih tinggi, sekali gus melancarkan beberapa produk termasuk siri Skyline iaitu Skyline KL pada tahun 2021 di Pudu, Kuala Lumpur dan terbaharu Skyline Kuchai pada 2023.
Walaupun kumpulan itu pada asasnya dikenali dalam segmen bisnes-kepada-bisnes (B2B), anak syarikatnya, TSLAW Land Sdn Bhd (TSLAW Land) melancarkan projek pembangunan di Lembah Klang dan Seremban, Negeri Sembilan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat berkenaan memberikan fokus kepada penjenamaan produk mereka.
Dalam satu wawancara, Pengarah TSLAW Land, Law Wai Cheong berkata, penjenamaan produk sangat penting khususnya dalam bidang hartanah.
“Adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan pelanggan mendapat maklumat dan perkembangan terkini mengenai projek pembangunan yang kami lancarkan.
“Di TSLAW Land, kami membahagikan pembangunan kepada beberapa siri ataupun segmen, seperti kereta model bersiri di industri automotif supaya kami boleh mempelbagaikan pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.
Wai Cheong berkata, projek Skyline misalnya adalah seperti BMW 5 Series.
“Ia merupakan satu simbol kekayaan, tetapi harganya tidaklah terlalu mahal.
“Kami memulakan siri Skyline ini kira-kira tujuh ke lapan tahun lalu iaitu pada awal-awal pembelian tanah, dan proses ini mengambil masa yang agak panjang.
“Sehubungan itu, kami kini sedang melaksanakan projek 5 siri dan akan melancarkan projek 3 siri dan 7 siri pada masa depan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, TSLAW Land turut memberi keutamaan kepada fasiliti dan susun atur projek, di mana fokus akan diberikan kepada ruang dalaman dan kemudiannya rekaan luaran dengan memastikan produk dalam siri Skyline dilaksanakan berasaskan pembangunan berorientasikan transit (TOD),” katanya.
Wai Cheong turut memaklumkan projek Skyline KL bernilai RM1.2 bilion yang dilancarkan pada 2022 dibangunkan untuk kegunaan bercampur di atas tanah seluas 2.99 ekar. Projek yang dijangka siap pada tahun 2026 itu mempunyai lebih 2,200 unit dengan saiz bermula dari 480 hingga 1,080 kaki persegi dan ditawarkan pada harga permulaan RM360,000.
“Skyline KL ini terletak di sebelah stesen LRT Pudu. Kami membina sesuatu yang bersesuaian dengan lokasi supaya ia mempunyai ruang komersial untuk perniagaan seluas 15,000 kaki persegi.
“Bangunan ini juga mempunyai laluan pejalan kaki sambungan ke stesen LRT dan kita akan memperuntukkan sejumlah bajet untuk menaik taraf stesen tersebut.
“Kami juga akan menaik taraf seluruh kawasan tersebut bagi memastikan ia memenuhi konsep TOD. Keseluruhan tapak ini termasuk stesen LRT meliputi keluasan tujuh ekar,” kata Wai Cheong.
Pengarah TSLAW Land, Law Wai Cheong
Skyline Kuchai
Berikutan permintaan yang sangat memberangsangkan untuk Skyline KL, TSLAW Land bercadang untuk memperkenalkan produk terbaharu kepada siri ini iaitu Skyline Kuchai pada Januari 2023.
Pembangunan di atas tanah seluas 4.56 ekar itu terletak di Jalan Kuchai Lama di ibu negara dengan jaraknya hanya 400 meter (m) dari MRT Kuchai Lama yang merupakan sebahagian daripada laluan MRT Putrajaya.
Skyline KL adalah pembangunan campuran manakala Skyline Kuchai yang bernilai RM1 bilion itu merupakan sebuah bangunan residensi penuh dengan 1,838 unit apartmen meliputi dua blok.
Unit di Skyline Kuchai bersaiz 550 hingga 1,470 kaki persegi dan akan mempunyai ruangan dalaman 1+1 bilik dan 1 bilik air; 2 bilik dan 2 bilik air; 3 bilik dan 2 bilik air dan 4 bilik dan 3 bilik air (unit dua-kunci).
Dengan harga purata sebanyak RM742 untuk satu kaki persegi, harga untuk unit berkenaan adalah antara RM360,800 hingga RM1.018 juta.
Mewah: Ruangan rehat terapung di Skyline Kuchai.
Menjelaskan mengenai projek itu, Wai Cheong berkata, Skyline Kuchai yang dijadualkan siap menjelang tahun 2028 menerima sambutan yang amat memberangsangkan dalam bidang hartanah di pusat bandar Kuala Lumpur sejak pembangunan itu dibuka untuk pratonton kepada pembeli pada bulan Disember lepas.
Mengulas lanjut, Wai Cheong menjelaskan Skyline Kuchai merupakan projek yang dinaik taraf daripada Skyline KL dan direka bentuk untuk demografi bersesuaian dengan kawasan Kuchai Lama.
Beliau berkata, projek itu akan menjadi simbol kepada DNA siri Skyline yang memberikan penekanan kepada ruangan dan fasiliti kepada penduduk.
Keseluruhan kawasan fasiliti itu meliputi keluasan 100,000 kaki persegi dan akan memiliki kemudahan seperti kolam mandi infiniti sepanjang 50m, kawasan barbeku, taman permainan kanak-kanak, gimnasium luar, bilik audio siar (podcast), ruang rehat dan taman aras udara serta kawasan riadah.
Kuchai Skyline akan memiliki kemudahan seperti kolam mandi infiniti.
“Ini merupakan bangunan tertinggi di Kuchai Lama dengan Menara B adalah setinggi 59 tingkat.
“Bangunan ini bakal menyediakan ruang rehat aras udara (sky lounge) yang merupakan DNA kepada projek Skyline. Bangunan ini juga akan mempunyai trek joging seperti di Skyline KL.
“Di Skyline Kuchai, trek beraras tinggi adalah sepanjang 700m dan akan dipanggil Sky Track,” katanya.
Tambah Wai Cheong, Skyline Kuchai dilengkapi kolam renang ala resort, dewan serbaguna seluas tiga gelanggang badminton serta gimnasium yang mempunyai peralatan Technogym.
“Projek ini juga mempunyai ruang untuk podcast sebagai kemudahan bagi penduduk yang ingin bersiaran langsung.
“Di Menara A dengan ketinggian 56 tingkat akan mempunyai taman aras tinggi (sky garden), manakala Menara B akan memiliki sky lounge serta ruang makan yang akan membolehkan penduduk membuat majlis kecil-kecilan,” katanya.
Wai Cheong berkata, unit terkecil di Skyline Kuchai adalah hasil naik taraf daripada Skyline KL.
“Di Skyline Kuchai, keluasan unit kecil ini lebih 500 kaki persegi dan mempunyai ruang atur 1+1 bilik, berbanding kira-kira 400 kaki persegi di Skyline KL.
“Malah, unit berkenaan juga separa lengkap dengan pendingin hawa di semua bilik tidur dan ruang tamu manakala kawasan istirahat serta dapur dilengkapi kabinet.
“Kami menyediakan kelengkapan ini untuk meningkatkan nilai hartanah malah barangan yang diberikan adalah bermutu tinggi dari jenama yang dikenali supaya penduduk tidak perlu mengubah suai rumah mereka,” katanya.
Tambah Wai Cheong lagi, kualiti adalah keutamaan syarikat yang mana hanya jenama dipercayai seperti pendingin hawa Daikin, penyedut asap dapur Electrolux, suis Legrand dan kabinet dapur Signature Kitchen disediakan di Skyline Kuchai.
Selain itu, pembangunan projek tersebut juga akan dilengkapi dengan sistem pembuangan sampah melalui terowong gelongsor manakala butang lif akan membolehkan operasi tanpa sentuhan.
Projek masa hadapan
Sementara itu, Wai Cheong berkata, TSLAW Land bercadang untuk melancarkan satu atau dua projek setiap tahun di mana satu projek di Kepong bakal direalisasikan syarikat pada suku keempat tahun 2023.
Katanya, projek pembangunan yang serupa dengan 3 siri itu akan menjadi satu produk yang sederhana namun tetap menarik.
“Kami masih dalam fasa bagi memuktamadkan produk ini.Selain itu, kami juga merancang untuk melancarkan satu lagi projek pada hujung tahun ini atau dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan melibatkan sebidang tanah berkeluasan tujuh ke lapan ekar yang terletak berhadapan dengan Menara TSLAW.
“Kegunaan utama adalah untuk pangsapuri servis dan secara tentatifnya, sebuah hotel. Bangunan ini akan dihubungkan dengan jejantas aras tinggi arah ke Bukit Bintang dan Tun Razak Exchange dari dua sisi berbeza.
“Disebabkan lokasinya di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, projek ini akan menjadi sebahagian daripada projek 7 siri kami.” tambahnya.
Menurutnya, sasaran pembeli tertumpu pada warga asing dan ianya tertakluk kepada aliran pelaburan asing di Malaysia.
"TSLAW Land mempunyai tanah untuk dibangunkan seluas 600 ekar dan sebahagian besarnya adalah di Senawang, manakala yang lain adalah di Taman Desa dan Subang Jaya dalam lingkungan Lembah Klang.
Syarikat TSLAW Land sedang mencari lebih banyak tanah untuk dibeli bagai dibangunkan mengikut konsep TOD.
“Kami tidak mahu hanya fokus kepada satu rangkaian produk sahaja. Sehubungan itu, kami merancang untuk membangunkan beberapa siri lain di mana projek yang dilancarkan akan mengikut keperluan yang diingini kerana setiap pembangunan mempunyai DNA dan keunikan tersendiri.
“Syarikat juga mahu terus membangunkan projek yang mempunyai kelebihan secara kompetitif dalam pasaran supaya ia dapat memberi kelainan untuk terus maju,” kata Wai Cheong.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web www.skylinekuchai.com atau menghubungi talian 03 8684 2828 untuk melihat sendiri unit pameran Skyline Kuchai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram