[VIDEO] Hujan lebat lebih sejam, Bandar Sri Permaisuri dilanda banjir kilat


  • Tular
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar beberapa kawasan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.

HUJAN lebat melanda di sekitar Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat petang telah mengakibatkan beberapa kawasan terjejas dengan situasi banjir.

Bandar Sri Permaisuri, Cheras merupakan antara lokasi yang terkesan dengan perkara itu apabila jalan raya mula dinaiki air tinggi hingga ke paras buku lali.

Perkongsian di laman media turut memaparkan situasi berkenaan dengan seorang lelaki sedang berteduh di premis niaganya.

Sementara itu, sebuah kediaman pangsapuri di Cheras turut mengalami nasib sama apabila laluan di situ dinaiki air banjir dan menyebabkan beberapa kenderaan terhenti di tengah jalan raya.

Belum ada sebarang kenyataan polis mahupun bomba berkaitan kejadian itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika memandu kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut laporan Astro Radio Traffic pada Jumaat, trafik di sekitar KL mengalami kelewatan sehingga satu jam akibat hujan lebat pada petang Jumaat.

Antara laluan yang terlibat iaitu Jalan Yaacob Latif, Jalan Tun Razak, Jalan Syed Putra, Jalan Damansara dan Jalan Maharajalela.

Selain itu, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Raja Chulan, Jalan Kinabalu, Jalan Cheras, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Travers serta Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Bagaimanapun, paras takungan air di kesemua laluan dilihat masih dalam keadaan terkawal dengan trafik bergerak perlahan.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram