Kad ID sebelum beli minyak peket undang risiko kebocoran data


  • Massa
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Sistem ID bakal diperkenalkan untuk masyarakat membeli minyak peket bersubsidi bermula tahun depan. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini menetapkan masyarakat perlu menggunakan kad pengenalan diri (ID) untuk membeli minyak peket bersubsidi bermula tahun depan.

Ia susulan, minyak masak peket khususnya menjadi antara bahan mentah bersubsidi yang sukar untuk dikawal dengan bilangannya juga semakin terhad di pasar raya akibat kehabisan stok.

Pelbagai faktor menyumbang kepada isu terbabit dan salah laku warga asing yang membolot minyak peket melebihi had sepatutnya, merupakan antara isu hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Bertitik tolak daripada itu, langkah diambil Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh yang menetapkan pengenalan kad ID untuk membeli bahan mentah, dianggap sebagai satu keputusan wajar bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Jelasnya, ketetapan tersebut bertujuan bagi memastikan subsidi itu sampai ke golongan sasaran dan tidak berlaku penjualan kepada golongan yang tidak layak termasuk warga asing.

fuu

Fuziah berkata, kementerian bakal menetapkan kad pengenalan ID untuk masyarakat membeli minyak peket bersubsidi. — Bernama

Namun, perkara itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat terhadap jenis pengenalan diri yang bakal diperkenalkan dengan rata-rata netizen enggan kad pengenalan diri (IC) digunakan dalam pembaharuan sistem tersebut.

Pakar Ahli Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim turut berasakan ia sebagai satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh pihak atasan sebelum melaksanakan ketetapan tersebut.

Jelasnya, sekiranya kad pengenalan digunakan dalam sistem tersebut, ia boleh mengundang isu kebocoran data peribadi selain akan mengakibatkan kesukaran sekiranya ia hilang.

"Ia satu perkara yang amat merisaukan jika IC dijadikan sebagai dokumen ataupun pengenalan diri untuk orang ramai membeli barangan minyak paket melalui sistem baharu KPDN kelak.

"Ketika ini, terlampau banyak kemudahan dan akses bayaran dijalankan melalui IC antaranya bayaran tol, pemindahan bantuan kewangan serta bayaran secara debit, itu semua secara tidak langsung mendedahkan butir diri kita kepada semua pihak.

"IC sangat penting buat rakyat Malaysia dan ia perlu dilindungi daripada sebarang isu kebocoran data dan butir maklumat diri.

"Sebaiknya kerajaan cipta satu kad pengenalan berasingan yang dikhaskan untuk pembelian barangan bersubsidi, sekurang-kurangnya kalau hilang tak memerlukan kos tinggi untuk mendaftar yang baharu," katanya kepada Majoriti.

zhh

Muhamad Zharif menggesa pihak kerajaan dan KPDN mengkaji penggunaan kad pengenalan diri dalam sistem pembayaran minyak paket bersubsidi. — Facebook

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap akses dan maklumat bakal diterima penduduk di kawasan pedalaman.

Jelasnya, pengenalan sistem digital dalam aktiviti jual beli ini sememangnya satu perkara yang bagus namun, belum bersesuaian dengan kefahaman masyarakat di kawasan kampung terutamanya golongan warga emas.

"Saya bimbang dengan penduduk pedalaman yang sering tercicir daripada perkembangan teknologi ketika ini, semuanya hanya tertumpu kepada warga kota tetapi warga emas mahupun anak muda di kampung masih kekal dengan cara lama walhal di sana juga sudah ada populasi warga asing.

"Untuk mereka faham dan biasa dengan sistem baharu dan sebagainya, perlu ada penyebaran maklumat secara terperinci di kawasan pedalaman bermula dari sekarang.

"Sebaiknya kerajaan ataupun pihak berwajib mula menjalankan hebahan serta perancangan untuk membantu golongan terpencil supaya lebih mudah menerima sistem baharu.

"Tinjauan melalui wakil penduduk misalnya antara yang boleh dijalankan untuk kita mengetahui kekurangan yang perlu ditambah baik sebelum mereka dimaklumkan tentang pengenalan sistem kad pengenalan bagi bahan mentah bersubsidi dan sebagainya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram