SEORANG wanita didakwa beberapa kali cuba untuk meracun suaminya ketika proses penceraiannya sedang berlangsung di Amerika Syarikat pada Ogos lalu.
Melody Felicano Johnson, 39, didakwa sengaja meletakkan sejenis bahan kimia dalam minuman kopi suaminya yang merupakan seorang tentera udara di negara terbabit.
Johnson dikatakan telah melakukan kegiatan itu sejak Mac lalu ketika menetap di Jerman.
Suaminya yang mengesan perbuatan itu, meletakkan kamera tersembunyi dan sejenis alat pengesan kimia pada periuk yang sering digunakan isterinya.
Melaporkan perkara itu kepada pihak polis, namun bukti kejadian dikatakan tidak mencukupi untuk membuatkan isterinya dikenakan hukuman.
Justeru, selepas berpindah ke Tucson, Amerika Syarikat, suaminya sekali lagi cuba untuk memerangkap isterinya dengan meletakkan beberapa buah kamera tersembunyi di dapur kediamannya bagi membuktikan kesalahan tersebut.
Seperti yang dijangkakan, Melody sekali lagi dilihat melakukan perbuatan kotor tersebut apabila menuang sebotol cecair dipercayai bahan peluntur ke dalam mesin pembancuh kopi suaminya.
Sebaik menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut, suaminya mendakwa minumannya bertukar seperti air sabun dan boleh mengundang bahaya sekiranya diminum.
"Anda boleh menghidunya dari sini, tengok, ia benar-benar berubah warna dan berbuih," katanya dalam satu video dimuat naik yang kini tular sejak Khamis.
Susulan insiden tersebut, Melody dilaporkan telah ditahan polis dan hakim memutuskan bahawa suspek mempunyai keluarga di Filipina dan sengaja ingin mendapatkan harta pampasan tinggi.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara serta denda AS250,000 (RM1.18 juta) atas tuduhan cuba membunuh suaminya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram