Kes letupan gas bocor, penduduk sangka bunyi bangunan runtuh


  • Massa
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar keadaan rumah di Apartmen Desa Tun Razak, Kuala Lumpur yang terbakar pada Khamis malam.

"SAYA sangka bunyi letupan kuat dari luar rumah ketika itu adalah bunyi bangunan runtuh, lebih-lebih lagi apabila nampak pintu rumah sudah tercabut dan api di rumah hadapan sudah marak, saya terus keluar selamatkan diri," demikian menurut Saadon Aksah.

Saadon, 48 yang merupakan penduduk Apartment Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam bilik, sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan serta gegaran kuat akibat letupan gas memasak di kediaman jirannya di tingkat 10, menyebabkan seorang lelaki melecur dan 12 motosikal rosak.

"Akibat letupan itu, tingkap dan beberapa bahagian rumah saya mengalami kerosakan,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memaklumkan rumah yang didiami sejak lapan tahun lepas masih selamat untuk diduduki.

Seorang lagi penduduk Mohd Jalil Mat Zen, 37 berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan seorang anaknya baru hendak masuk tidur sebelum terdengar letupan kuat dari bahagian atas bangunan.

"Kami sekeluarga yang tinggal di aras empat turut berasa gegaran itu dan bergegas keluar untuk selamatkan diri, isteri yang mempunyai penyakit jantung terpaksa dihantar ke Hospital Serdang gara-gara terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Berkongsi detik cemas kejadian, Laila Mohd, 43, yang tinggal di aras sama dengan unit rumah yang terbakar itu berkata, dia dan suaminya terpaksa memecahkan jeriji pintu untuk menyelamatkan diri kerana sukar dibuka akibat impak daripada letupan tersebut.

"Saya tidak sempat membawa sebarang dokumen dan hanya fikirkan untuk selamatkan diri selepas melihat api di rumah hadapan semakin marak," kata suri rumah itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam Khamis, seorang lelaki berusia 32 tahun melecur selepas kediamannya terbakar akibat letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Kejadian tersebut turut menyebabkan dua unit rumah berhampiran dan 12 motosikal rosak setelah dihempap dinding konkrit dapur unit apartment yang runtuh akibat letupan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi Bernama berkata, mangsa yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tunku Muhriz Cheras.

"Mangsa melecur 30 peratus di bahagian badan dan kini ditidurkan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram