MENJELANG pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober depan, pastinya ramai tidak sabar menantikan khabar gembira yang bakal 'dihadiahkan' oleh Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.
Tidak terkecuali golongan belia atau graduan yang sekali lagi mengharapkan pertimbangan kerajaan dari segi insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Lagipun, pemberian diskaun itu bukanlah perkara baharu, ia sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, berita kurang senang diterima rakyat Malaysia apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Rabu memaklumkan tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN dalam pembentangan Bajet 2024.
Namun Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan (MOF).
Cadangan itu berbeza dengan pembentangan Bajet 2023 yang mana kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lepas.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan.
Seperti diduga, pelbagai respons yang diterima susulan keputusan berkenaan. Dengan penarikan semula insentif tersebut, Majoriti senaraikan tiga kemungkinan impak yang boleh berlaku :
1) Lebih ramai peminjam tak bayar hutang
Rata-rata graduan mengambil pendekatan tersebut untuk melangsaikan baki pinjaman yang tertunggak.
Secara keseluruhan, insentif pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN yang diumumkan kerajaan sebelum ini sebenarnya banyak memberi manfaat kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya daripada keluarga kurang berkemampuan.
Insentif itu juga sebelum ini disambut baik apabila rata-ratanya mengambil pendekatan tersebut untuk melangsaikan baki pinjaman yang tertunggak.
Pemberian diskaun itu mampu memberi peluang kepada graduan untuk membayar semula pinjaman dengan lebih mudah seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Ia juga boleh dianggap sebagai salah satu pendekatan bagi mendekati golongan mahasiswa dan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan.
Sekiranya kerajaan menarik semula pemberian tersebut, kemungkinan akan lebih ramai peminjam yang menghadapi kekangan untuk meneruskan pembayaran hutang mereka.
Terutamanya dengan situasi ekonomi ketika ini yang menyaksikan rakyat Malaysia berdepan kenaikan kos sara hidup termasuk golongan mahasiswa.
Dalam masa sama, mungkin juga terdapat peminjam yang gagal membayar hutang PTPTN disebabkan belum mendapat pekerjaan atau bergaji rendah.
Tidak mustahil situasi itu juga akan membawa kepada peningkatan angka peminjam yang akan disenaraihitamkan.
2) Tiada usaha dapatkan keputusan pengajian terbaik
Pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN diberikan kepada graduan kelas pertama.
Sebelum ini, keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN diberikan khusus buat graduan yang menamatkan pengajian dalam kelas pertama.
Pada awalnya, insentif tersebut terhad kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40 sahaja.
Namun kemudian keistimewaan itu diperluas kepada semua peminjam yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.
Ia diikuti dengan beberapa syarat seperti hanya tertakluk kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa dan menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan mengikut dokumen tawaran pinjaman PTPTN.
Ia bertujuan mendorong golongan berkenaan belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan terbaik dalam pengajian mereka.
Perjalanan untuk menggenggam segulung ijazah bukanlah satu proses yang mudah dan murah.
Ia sememangnya memerlukan banyak pengorbanan terutamanya daripada sudut kewangan.
Setiap peringkat pengajian memerlukan sejumlah dana yang banyak bagi keperluan membayar yuran, buku-buku, bahan rujukan dan sebagainya.
Tidak dinafikan, keistimewaan insentif seperti ini menjadi antara peluang yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pelajar yang menyimpan cita-cita untuk menimba ilmu di menara gading meskipun berdepan bebanan kewangan yang mencabar.
3) Rakyat bertukar sokongan
Tangkap layar sebahagian daripada teks didakwa manifesto PH yang dikongsi dalam laman Facebook Ahmad Fadhli Shaari.
Terdapat pandangan yang menyatakan tidak mustahil penarikan semula diskaun pinjaman PTPTN berisiko menggugat sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Beberapa pemimpin pembangkang juga pernah cuba menghangatkan radar politik negara apabila membangkitkan semula isu berkaitan PTPTN pada awal tahun ini.
Antaranya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa pemansuhan bayaran balik pinjaman PTPTN merupakan salah satu janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujarnya, merujuk kepada manifesto tersebut, di bawah tajuk Pengampunan Hutang PTPTN Bersasar, PH berjanji untuk melaksanakan Program Pemansuhan Hutang Bersasar Khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
Langkah tersebut adalah untuk mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah dalam kalangan siswa termasuk keberhutangan PTPTN.
Manifesto PH turut menyatakan, jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksanakan berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini turut mendakwa manifesto PH yang berjanji akan menghapuskan pinjaman PTPTN adalah satu pembohongan.
Ini kerana janji itu tiada dalam manifesto gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika PRU15.
Membalas dakwaan tersebut, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menjelaskan peluang untuk mentransformasi PTPTN sebenarnya sudah terlepas sejak 2013.
Beliau berkata, ia berikutan paras hutang PTPTN kini semakin meningkat kepada sekitar RM50 bilion berbanding kira-kira RM20 bilion pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, dengan melepasi paras tertentu, adalah sukar untuk menstrukturkan hutang berkenaan.
"Kita dari 2018 lagi telah menyatakan, kita terlepas peluang untuk mentransformasikan PTPTN semasa pilihan raya 2013. Masa itu, hutang PTPTN sekitar RM20 bilion, sekarang hutangnya sudah dekat RM50 bilion," tegasnya.
Jika menjengah ke ruangan komen di laman media sosial, pencarian 'PTPTN diskaun' adalah antara kata kunci yang popular ketika ini.
Seperti diduga, rata-rata pengguna meluahkan kemarahan mereka atas langkah kerajaan berhubung perkara tersebut.
Malah, tidak kurang juga yang berkongsi semula janji-janji 'manis' yang pernah ditaburkan oleh PH dalam manifesto mereka sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram