Duta PTPTN pernah sanggup berguling atas jalan, rayu pak menteri mansuh pinjaman


  • Massa
  • Khamis, 05 Okt 2023

Adam Adli pernah mengadakan demonstrasi di ibu kota bersama mahasiswa lain untuk menuntut pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN pada 2012.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Belanjawan 202.

Perkara itu dimaklumkan oleh menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu.

Hal itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Seperti diduga, cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk pelajar, ibu bapa dan persatuan yang menaungi golongan mahasiswa di negara ini.

Apabila menyentuh soal PTPTN, banyak sebenarnya 'kontroversi' yang timbul berhubung perkara ini.

Mengimbau kembali situasi beberapa tahun sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim adalah antara figura yang lantang menyuarakan pandangan dan berjuang menuntut keadilan sistem daripada kerajaan sebelum ini termasuk berkaitan isu PTPTN.

Sebegitu lantangnya beliau sehingga diberi gelaran 'Duta PTPTN' oleh rakyat pada ketika itu.

Masihkan anda ingat, tahun 2012, Adam Adli pernah mengadakan demostrasi di ibu kota bersama mahasiswa lain untuk menuntut pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN?

Kemudian pada 13 Mei 2013 pula, beliau ditahan atas kenyataannya semasa forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada 22 Februari 2018, bekas aktivis mahasiswa itu dibebaskan daripada tuduhan menghasut.

Tidak berakhir di situ, pada November 2018, Adam Adli menerusi media sosialnya lantang mengkritik Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik yang dikatakan gagal memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkaitan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Education Minister Dr Maszlee Malik launches the Raising Bahasa Melayu Standards in SJKC 2018. FAIHAN GHANI/The Star.

Maszlee Malik

Beliau turut mempersoalkan tindakan Maszlee yang langsung tidak menyatakan permohonan maaf atas tindakannya.

"Apa perlu bapak menteri pelajaran kita yang aku kenang sebagai orang baik, gemar berhujung minggu dengan teman-teman tak berumah di ibu kota, renung prestasi diri setelah beberapa purnama (bulan) ini?

"Tak akan sekelumit kata maaf pun susah nak ditutur dek gagal memenuhi apa yang dijanjikan sendiri? Terlalu tinggikah duduknya hari ini sampai tiada rendah diri lagi dalam perkataan? Bahaya bapak menteri. Bahaya.

"Untung masih ada teman-teman yang terus bersuara. Hingar-bingar itu tanda orang peduli. Diam tanda orang sudah jauhkan diri, putus asa sama sekali," tulisnya.

Untuk rekod, beberapa hari selepas dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Dr Maszlee berjanji akan menunaikan manifesto PH berhubung penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN.

Namun beberapa bulan selepas itu beliau berkata, setiap peminjam perlu melunaskan apa-apa jenis hutang sekalipun termasuk yang dituntut dalam Islam walaupun RM10 sebulan.

“Apa pun manifesto kata tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu.

“Pembangkang semua nak politikkan isu tetapi ini soal akhlak dan moral apabila pinjam duit kenalah bayar. Bayarlah walau dengan hanya RM10 sebulan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram