'Tak penat ke kena lagi macam ni?', Wan Fayhsal pertikai langkah KPT hentikan diskaun PTPTN


  • Massa
  • Khamis, 05 Okt 2023

Wan Ahmad Fayhsal secara sinis mempertikaikan tindakan pihak KPT yang menarik semula diskaun bayaran PTPTN.

KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal mengkritik langkah diambil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila tidak meneruskan pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau secara sinis mendakwa, Kerajaan Perpaduan pastinya akan tampil dengan skrip alasan yang sudah dijangka dan tampil mengelak daripada manifesto ditetapkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Tak penat ke kena lagi macam ni?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

"Nanti mereka jawab, skrip 1: ini kerajaan Perpaduan, bukan Pakatan Harapan. Manifesto Pakatan Harapan tak boleh pakai.

"Skrip 2: itu janji masa harga minyak dulu. Yang tulis dalam Manifesto PH tahun lepas tu kalau harga minyak AS $100 (RM 473.15) satu tong," katanya.

Terdahulu, laporan media mengatakan Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan pemberian diskaun pembayaran balik PTPTN.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan muktamad berhubung perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram