'Intern' dianggap buruh percuma, perlukah sistem latihan praktikal dimansuhkan?


  • Massa
  • Ahad, 18 Jun 2023

Rata-rata warga maya bersetuju agar latihan praktikal dimansuhkan. 

LATIHAN industri atau praktikal adalah satu proses pembelajaran wajib yang perlu dilakukan oleh sesetengah pelajar sewaktu mereka berada di kolej mahupun universiti sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Namun begitu, pelbagai ragam setiap pelajar ini dapat dilihat ketika menjalani latihan industri tersebut.

Baru-baru ini tular di laman media sosial seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai @rashifa memuat naik sekeping foto dirinya menggantung sepanduk pada hari pertama menjalani latihan praktikal.

Rashifa yang juga pelajar jurusan pengajian antarabangsa dan strategik menyuarakan bantahan dengan membawa sepanduk tertera ‘intern bukan buruh percuma’ menerusi ciapan dimuat naik berserta bebenang.

Dalam ciapan tersebut, Rashifa menyatakan dia bakal menjalani latihan industri bermula semester hadapan dan disebabkan itu dirinya meluahkan kerisauan dengan masalah yang sering dihadapi oleh para pelajar.

FykMXNQaMAEa8P0

Rashifa menyatakan dia bakal menjalani latihan industri bermula semester hadapan. —Twitter

“Saya akan mulakan latihan industri pada semester hadapan. Jadi saya akan berjalan-jalan dengan (plakad) ini untuk menyatakan kebimbangan saya.

“Kerajaan menaikkan gaji minimum RM1,500. Tetapi polisi ini tidak termasuk intern. Intern tidak dilindungi oleh akta pekerja Malaysia. Justeru, ada risiko dieksploitasi oleh syarikat,” ciapnya.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dari warga maya dan ada dalam kalangan mereka tidak bersetuju dengan isu tersebut.

Sementara itu, seorang pengguna Twitter @datukhensem pula mempunyai pendapat yang berlainan.

Dia berpendapat latihan industri pada masa kini sudah tidak relevan dan pelajar seharusnya bekerja selepas menamatkan pembelajaran di peringkat universiti.

"Lagi pendek tempoh belajar, lebih sikit hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Lebih cepat masuk alam pekerjaan, lebih cepat boleh bayar hutang PTPTN. Lebih cepat kerja, lebih lama tempoh had caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 'beranak' dividen lebih," ciapnya.

Dia juga turut membuat survei di laman sosial peribadi miliknya itu.

"Anda bersetuju atau tidak jika sistem internship dihapuskan dan secara tidak langsung tahun pengajian pelajar dapat dipendekkan dan mereka boleh bekerja dan mendapat latihan terus pada pekerjaan berbayar pertama mereka," katanya melalui survey tersebut.

Hasil tinjauan mendapati, hampir 79 peratus warga maya bersetuju latihan praktikal dimansuhkan.

Menjengah ke ruangan komen, ada dalam kalangan warga maya menyokong pendapat tersebut.

Menurut @ikhwan1P, dia bersetuju agar latihan industri dimansuhkan agar tidak membebankan pelajar.

"Setuju, bukannya latihan industri ini tidak bagus tetapi ketika menjalani semester intern (praktikal) pun kena bayar universiti.

"Pada masa sama, sekarang ini banyak tempat praktikal yang tidak berkaitan bidang dan sukar untuk mencari tempat yang sesuai," katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter, @Aina turut menyuarakan pendapat yang sama.

"Sudah tiba masa kita hapuskan sistem praktikal ini. Banyak membuang masa dan bila praktikal, pelajar dikerahkan untuk bekerja seperti kakitangan yang lain.

"Sangat tidak adil, bayangkan sudah penat bekerja dan habis masa intern tidak diserap masuk sedangkan pelajar itu sendiri sudah bekerja sehabis baik," ciapnya.

Soalan yang timbul, seandainya sistem latihan industri ini dimansuhkan, adakah pelajar itu mampu menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram