Bajet 2024: Diskaun PTPTN dijangka tidak diteruskan


  • Primer
  • Rabu, 04 Okt 2023

Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman PTPTN dijangka tidak diteruskan.

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Belanjawan 2024, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan (MOF).

"Setakat ini, kita telah tidak lagi meneruskan itu (diskaun bayaran balik PTPTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lepas.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.

PUTRAJAYA, 4 Okt -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas   Perasmian Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Zaaba Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdapat empat kategori yang layak menerima insentif ditawarkan iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

Selain itu, diskaun 15 peratus akan diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus mengikut jadual bayaran balik dan diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, KPT memberi tumpuan kepada tiga perkara dalam Belanjawan 2024 iaitu pendigitalan, penyelidikan dan inovasi serta kediaman pelajar.

"Kita (KPT) mengharapkan supaya kerajaan menyokong permohonan kita untuk kita menerap dan mengaplikasi pendigitalan dalam kita menjayakan dan mengurus mentadbir ekosistem pendidikan tinggi dalam negara.

"Kita percaya melalui pendigitalan akan dapat meningkat dan melonjakkan lagi usaha kita untuk memastikan terus cemerlang dalam sektor pendidikan tinggi," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram