[VIDEO] Tak sempat elak tapir melintas punca 4 penunggang parah, kini dirawat di Hospital Kluang


  • Tular
  • Khamis, 05 Okt 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan empat penunggang motosikal yang melanggar seekor tapir di Kluang, Johor.

EMPAT individu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah apabila berlanggar dengan seekor tapir yang melintas sebuah jalan raya di Kluang, Johor pada Rabu.

Difahamkan, haiwan liar itu secara tiba-tiba melintas di laluan berkenaan sebelum dirempuh dua buah motosikal yang gagal mengelak binatang tersebut.

Video tular berdurasi 54 saat di laman media memaparkan situasi kemalangan terbabit.

Seorang lelaki dirakam terbaring selepas cedera parah manakala haiwan berkenaan pula dipercayai mati dalam insiden tersebut.

Beberapa lelaki menghentikan kenderaan untuk membantu mereka yang tercedera dan laluan jalan raya turut dikawal oleh individu berkenaan.

Keempat-empat penunggang terbabit difahamkan sudah dibawa ke hospital dan menerima rawatan lanjut namun belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kemalangan tersebut setakat ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil membantu pihak berkuasa dan dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menunggang motosikal di jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram