SEORANG lelaki bersenjata api ditahan polis dalam kejadian tembakan yang berlaku di sebuah pusat beli-belah mewah Paragon, Bangkok, Thailand pada Selasa.
Menurut laporan diterima, sekurang-kurangnya tiga individu disahkan maut dan tiga cedera dalam tragedi tersebut yang nyata mengundang kekecohan di laman media ketika ini.
Biro Siasatan Polis Thailand di laman Facebook memuat naik video kejadian yang memaparkan orang ramai berpusu-pusu berlari keluar dari bangunan tersebut.
Difahamkan, kes itu tercetus apabila beberapa pengunjung terdengar bunyi tembakan dari arah tandas pusat beli belah berkenaan yang seterusnya menyebabkan orang ramai bertukar panik dan segera menyelamatkan diri masing-masing.
Perkongsian di laman Twitter turut memaparkan sebahagian daripada insiden yang berlaku.
Susulan insiden itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menzahirkan kebimbangan beliau terhadap hal tersebut.
"Saya sedia maklum tentang kejadian tembak menembak di Siam Paragon dan telah mengarahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan segera. Saya paling bimbang tentang keselamatan awam," ciapnya di Twitter.
Untuk rekod, kes keganasan senjata api bukan kali pertama berlaku di negara terbabit dengan beberapa lagi kejadian serupa pernah terpahat dalam sejarah Thailand sebelum ini.
Pada tahun lalu, seorang bekas pegawai polis dilaporkan membunuh seramai 22 orang kanak-kanak di sebuah taska manakala pada 2020, seorang askar menembak dan membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 mangsa dalam keganasan yang berlaku di empat lokasi berasingan di sekitar timur laut Thailand dan bandar Nakhon Ratchasima. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram