
TULAR satu rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki sedang memukul rakannya dipercayai berlaku di sebuah sekolah sejak Khamis.
Namun, tidak dapat dipastikan tarikh dan lokasi sebenar insiden itu berlaku.
Difahamkan, ia merupakan video lama yang ditularkan semula sejak Khamis dan kesemua pelaku telah dikenakan hukuman.
Hasil pemerhatian Majoriti, kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah sekolah menengah yang berlokasi di Utara Semenanjung tanah air berdasarkan dialek yang digunakan.
Video yang dimuat naik di Facebook Amirul Mat Rawi itu turut menjadi perbualan warga maya kerana tindakan beberapa pelajar yang memukul mangsa tanpa belas kasihan.
Melalui video berdurasi enam minit lebih itu, mangsa yang bertubuh kecil itu dipercayai dibelasah oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah bilik asrama.
Lebih menyakitkan hati, sekumpulan pelajar berkenaan terus memukul dan menendang mangsa walaupun dia merayu dan menjerit kesakitan.
Mangsa juga tidak membuat serangan balas dan dia dilihat hanya mampu menekup wajahnya sekali sekala bagi menyelamatkan diri.
Kejadian itu turut disaksikan dan dirakam oleh penghuni asrama yang lain.
Sementara itu, pengguna di laman media menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan supaya kejadian seperti itu tidak berulang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook meluahkan kemarahan mereka terhadap kejadian tersebut.
"Selalunya sikap budak-budak ini mencerminkan didikan ibu bapa di rumah macam mana. Spesis ibu bapa macam ni elok waris mangsa buat laporan polis dan jangan sesekali tarik balik.
"Melutut macam mana sekali pun jangan tarik. Kita ajar budak ini di sekolah juvana sekali dengan ibu bapa dia biar cerdik sikit," tulis Tuan Hakim.
"KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) boleh buat CCTV (rakaman kamera litar tertutup) di asrama dan dipantau oleh security agar kejadian seperti ini dapat dikawal dan dikesan dengan lebih cepat," kata Jamadi Kibli.
Setakat berita ini ditulis belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak ataupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram