BAGAI buku bertemu ruas, itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada seorang pelajar warga asing selepas dia dibelasah seorang lagi pelajar tempatan kerana didakwa sering membuat kacau di sebuah universiti swasta baru-baru ini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah universiti yang terletak di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada Ahad dan video tersebut turut tular pada hari yang sama.
Melalui maklumat yang dikongsikan netizen, kedua-dua pelajar berkenaan merupakan pelajar di tempat pengajian swasta berkenaan.
"Jangan dikacau 'Anak Iban Sarawak kick boxer' di Sri Petaling, Kuala Lumpur, Malaysia. Sri Petaling adalah tempat dia belajar.
"Seorang pelajar lain membulinya di jalanan dan mereka menganjurkan perlawanan tinju.
"Budak Iban ini gentleman (budiman) dan cool.. baru hantar pukulan amaran kepada 'pembuli asing' ini," tulisnya.
Difahamkan, selain membuli pelajar lain di universiti berkenaan, pelajar warga asing tersebut turut didakwa memeras ugut segelintir pelajar di universiti itu dengan meminta wang untuk membeli arak.
Malah, warga asing tersebut turut mencabar pelajar yang juga merupakan anak jati Sarawak itu untuk beradu di gelanggang tinju.
Cabaran itu disambut dan kedua-dua mereka dilihat menjadikan ruang khas di sebuah bilik gim itu sebagai gelanggang tinju manakala pelajar-pelajar yang lain pula seolah-olah menjadi penonton melihat kedua-duanya bertumbuk.
Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, pelajar warga asing berkenaan dibelasah dan menerima pukulan knock out (KO) sehingga terbaring lalu tidak sedarkan diri.
Pada masa sama, anak Iban itu turut memberikan amaran kepada pelajar warga asing tersebut untuk tidak membuli pelajar yang lain pada masa akan datang.
"Kamu kenal saya siapa?" jerit pemuda itu kepada pelajar asing terbabit.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak universiti mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram