HATI ibu mana yang tidak marah melihat anak yang dikandung, ditatang bagai minyak yang penuh dibuli oleh pelajar lain sehingga menyebabkan anak kesayangannya itu menjadi murung.
Kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah sekolah rendah di Kuala Krai, Kelantan namun tidak dinyatakan tarikh dan lokasi sebenar.
Lebih menyedihkan lagi, perkara tersebut diketahui oleh wanita tersebut selepas melihat video anaknya ditendang dan diejek beramai-ramai dalam satu video tular.
Sehubungan itu, wanita berkenaan, Ct Anis Ct Anis tampil berkongsikan kisah tersebut melalui laman Facebook peribadinya baru-baru ini.
"Rasa sakit beranak anak, Qayyum aku 11 tahun lepas masih tidak hilang lagi tetapi bila masuk sekolah sesuka hati anak mereka buli.
"Walaupun mereka tahu anak mereka salah namun satu perkataan maaf pun tidak pernah diucapkan.
"Aku sebagai seorang ibu tidak boleh membayangkan budak-budak ini membuli anak aku. Mujur Tuhan bagi petunjuk, budak baju merah dalam video tersebut hantar video memperlekehkan anak saya," katanya.
Tambahnya lagi, dia sebagai ibu sedih dan terkedu bila melihat video tersebut.
"Tuhan sebaik-baik perancang walaupun budak itu hantar video tak penuh, sekurang-kurangnya ada bukti. Selepas ini kalau tengok aku tunggu anak depan sekolah, jangan pelik.
"Sejenis mak bapak b***h, percaya pada anak. Baru sekolah rendah sudah pandai membuli anak orang. Anak aku sampai sembunyikan duit dalam stoking nak beli makanan pada waktu rehat," katanya lagi
Dakwa Anis, ibu bapa kanak-kanak berkenaan mengetahui anak mereka membuli anak lelakinya itu namun hanya membiarkan perkara tersebut.
Wanita berkenaan turut memuat naik video tular kejadian buli tersebut di Facebook miliknya pada Ahad.
Dalam video berdurasi 14 saat itu memaparkan anaknya yang masih memakai baju sukan sekolah dibuli oleh dua orang pelajar.
Lebih menyakitkan lagi, salah seorang daripada budak lelaki tersebut menendang mangsa dan mengejeknya sambil ketawa.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh pihak sekolah atau berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram